Kes mahkamah.
Bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin didakwa mengetahui sumber wang berjumlah RM25.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Parti Bersatu, namun sengaja menutup mata terhadap transaksi berkenaan.
Dakwaan itu dikemukakan pihak pendakwaan pada hari pertama hujahan lisan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi parti berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, kekerapan kemasukan wang dalam jumlah besar, termasuk penggunaan cek dengan nombor siri berturutan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu, sepatutnya menimbulkan kecurigaan Muhyiddin.
Menurutnya, Muhyiddin bukan sekadar pemimpin parti tanpa akses kepada urusan kewangan, sebaliknya mempunyai kawalan dan akses langsung terhadap akaun Bersatu.
“Dalam kes ini, tertuduh wilfully shut his eyes on what is obvious (sengaja memejamkan mata terhadap perkara yang jelas).
“Jika tertuduh mengambil sedikit usaha untuk mengetahui sumber wang RM25.3 juta itu, sudah tentu beliau akan mengetahui transaksi berkenaan membabitkan individu atau syarikat yang sama yang memohon sokongan,” katanya.
Pendakwaan turut berhujah, kegagalan Muhyiddin memastikan sumber dana berkenaan menunjukkan beliau mengetahui wang itu bukan daripada sumber yang sah.
Berdasarkan keterangan saksi pihak pendakwaan daripada institusi perbankan, RM25.3 juta itu dimasukkan melalui cek daripada tiga individu, masing-masing berjumlah RM19.5 juta, RM4.8 juta dan RM1 juta.
Pendakwaan turut mengaitkan kemasukan wang berkenaan dengan satu peristiwa di Tropicana Golf Club apabila Muhyiddin dikatakan secara spontan memaklumkan kepada seorang saksi, SP27, supaya sumbangan daripada ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia atau kontraktor disalurkan terus kepada Bersatu.
Wan Shaharuddin berkata, keterangan tiga saksi berkenaan turut menafikan wang itu sekadar derma politik, sebaliknya mengesahkan ia diberikan selepas syarikat masing-masing memperoleh projek menerusi program Jana Wibawa.
“Wang RM25.3 juta itu bukan derma politik semata-mata, sebaliknya diberikan sebagai balasan selepas syarikat memperoleh projek di bawah program Jana Wibawa,” menurut hujahan pendakwaan.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menilai keseluruhan keterangan saksi secara kumulatif bagi melihat kaitan antara tindakan Muhyiddin memudahkan ketiga-tiga syarikat terbabit dengan proses penilaian Jawatankuasa Penilaian Jana Wibawa di Kementerian Kewangan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin menetapkan 1 Disember ini untuk hujahan lisan pihak pembelaan.
Muhyiddin, 79, berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk mendapatkan suapan berjumlah RM25.3 juta bagi Bersatu daripada Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman Yusoff, berkaitan projek Jana Wibawa.
Kesalahan itu didakwa berlaku di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sebelum ini, mahkamah melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan RM200 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama selepas pendakwaan memutuskan tidak meneruskan kes berkenaan.
Isu minit Najib dan penutupan kedai, polis siasat dua pemimpin DAP
Nazri mahu UMNO-PAS runding kerusi, Wawasan diketepikan: Laporan
PRN Sarawak: GPS menang tanpa bertanding, SPR tunggu pandangan AGC
Zahid dan Tok Mat Menghadap Tuanku Muhriz, nasib MB N.Sembilan jadi tumpuan
Najib tidak teruskan rayuan saman terhadap bekas Peguam Negara
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib