Veteran UMNO, Nazri Aziz.
Kerjasama politik antara UMNO dan PAS perlu diteruskan tanpa melibatkan Parti Wawasan Negara (Wawasan), khususnya dalam rundingan pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Nazri Aziz berkata, UMNO wajar menuntut semula kerusi yang dimenangi Bersatu pada PRU15, termasuk kerusi yang kini diwakili Ahli Parlimen yang menyertai Wawasan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan pembahagian kerusi antara UMNO dan PAS perlu dilakukan menerusi rundingan berdasarkan kekuatan serta peluang kemenangan kedua-dua parti.
“Sekarang ini kerusi yang dimenangi oleh Bersatu akan ditandingi UMNO. Tapi kita berundinglah dengan PAS,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Nazri menegaskan Wawasan tidak mempunyai asas untuk menuntut kerusi berkenaan kerana parti itu tidak wujud ketika PRU15, sebaliknya kemenangan diperoleh atas tiket Bersatu.
“Kerusi Bersatu yang Wawasan ambil alih sekarang itu kerusi kita. Kalau dia nak tuntut kerusi Wawasan, takkanlah UMNO dengan PAS yang ada akar umbi perlu bekerja bagi membantu Wawasan,” katanya.
Beliau memberikan contoh kerusi Parlimen Padang Rengas yang dimenangi Azahari Hasan atas tiket Bersatu pada PRU15 sebelum menyertai Wawasan. PAS pula tidak meletakkan calon di kerusi berkenaan ketika pilihan raya itu.
“Tapi di Padang Rengas tak boleh beri Wawasan bertanding. Dia bukan Bersatu. Sebab itu saya kata cari kerusi lain,” katanya.
Nazri turut menggesa PAS supaya tidak melayan tuntutan Wawasan, yang disifatkannya sebagai parti serpihan UMNO, sebagaimana UMNO tidak bekerjasama dengan Amanah yang merupakan serpihan PAS.
“Pada kita, Wawasan tak ada. Kita kira PRU-15 Parti Wawasan tidak ada.
“Sebaik-baiknya PAS pun tak payahlah layan Wawasan ini. Dia serpihan UMNO, sepertimana kita tak melayan Amanah yang merupakan parti serpihan PAS,” katanya.
Beliau menyifatkan UMNO dan PAS mempunyai kekuatan tersendiri, khususnya sokongan masyarakat Melayu di kawasan luar bandar, justeru kerjasama kedua-dua parti berpotensi memberikan laluan lebih baik dalam PRU-16.
“Saya menyokong kerjasama dengan PAS. Dua parti ini boleh dikatakan parti pramerdeka yang mendapat dokongan orang Melayu di luar bandar dan kampung-kampung. Kalau kita bergabung, saya ingat insya-Allah laluan lebih mudah sedikit,” katanya.
Nazri turut menyifatkan Bersatu sebagai parti serpihan UMNO yang semakin mengecil akibat perpecahan dalaman, sekali gus membuka ruang kepada UMNO untuk mengambil semula kerusi yang pernah dimenangi parti itu.
Beliau bagaimanapun mengakui tidak terlibat secara langsung dalam rundingan pembahagian kerusi kerana perkara itu terletak di bawah tanggungjawab kepimpinan tertinggi parti.
Sebagai rekod, Bersatu memenangi 25 kerusi Parlimen pada PRU15 ketika bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN). Perkembangan politik selepas pilihan raya itu menyaksikan beberapa wakil rakyat bertukar parti, termasuk menyertai Wawasan.
Nazri yang pernah menjadi Ahli Parlimen Padang Rengas selama enam penggal turut menyatakan hasrat untuk kembali bertanding pada PRU16 selepas tidak bertanding pada PRU-15 bagi memberi laluan kepada calon lebih muda.
Bagaimanapun, beliau mengakui keputusan mengenai calon yang bakal mewakili UMNO di Padang Rengas tetap terletak di tangan kepimpinan parti.
Isu minit Najib dan penutupan kedai, polis siasat dua pemimpin DAP
PRN Sarawak: GPS menang tanpa bertanding, SPR tunggu pandangan AGC
Zahid dan Tok Mat Menghadap Tuanku Muhriz, nasib MB N.Sembilan jadi tumpuan
Pendakwaan persoal transaksi RM25.3 juta dalam akaun Bersatu
Najib tidak teruskan rayuan saman terhadap bekas Peguam Negara
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib