Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Mohamad Hasan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, petang ini bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut politik yang melanda negeri itu.
Ahmad Zahid dan Mohamad, yang juga dikenali sebagai Tok Mat, tiba di istana berkenaan kira-kira jam 3 petang.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim yang tiba lebih awal pada jam 1.18 tengah hari, manakala Tuanku Muhriz berangkat tiba kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Pertemuan itu dipercayai tertumpu kepada kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar susulan pertikaian berhubung status surat peletakan jawatannya yang diumumkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
Kemelut politik Negeri Sembilan tercetus pada 16 November lalu apabila Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir mengumumkan Ismail meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.
Zambry ketika itu memaklumkan Ahmad Zahid sudah menerima salinan surat peletakan jawatan berkenaan dan akan mengemukakan cadangan calon pengganti kepada Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada 17 November menjelaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar.
Ismail kemudian pada 20 November menegaskan beliau tidak pernah mengemukakan atau memberi persetujuan supaya surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada Tuanku Muhriz.
Susulan perkembangan itu, Istana Negeri Sembilan menjelaskan Ismail perlu membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menentukan kedudukannya sebagai Menteri Besar.
Kemelut berkenaan turut menyaksikan 24 ADUN daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) dilaporkan mencapai kesepakatan untuk mematuhi keputusan kepimpinan parti masing-masing dalam mencari penyelesaian politik negeri itu.
Ismail, yang juga ADUN Juasseh, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu selepas BN memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
PN pula memenangi tujuh kerusi, manakala baki kerusi dimenangi parti-parti lain.
Perkembangan hari ini dilihat penting dalam menentukan hala tuju kepimpinan kerajaan negeri, khususnya sama ada Ismail akan terus kekal menerajui pentadbiran Negeri Sembilan atau berlaku perubahan kepimpinan.
Nazri mahu UMNO-PAS runding kerusi, Wawasan diketepikan: Laporan
PRN Sarawak: GPS menang tanpa bertanding, SPR tunggu pandangan AGC
Pendakwaan persoal transaksi RM25.3 juta dalam akaun Bersatu
Najib tidak teruskan rayuan saman terhadap bekas Peguam Negara
Rafizi diminta dedah sumber dana kempen parti Kancil
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib