Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencatat kemenangan awal apabila berjaya memenangi 29 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ramlan Harun, selepas proses penamaan calon selesai hari ini.
Kemenangan tanpa bertanding itu menyaksikan beberapa pemimpin utama GPS, termasuk Premier Sarawak, Abang Johari Abang Openg, berjaya mengekalkan kerusi masing-masing tanpa perlu berdepan pertandingan pada hari pengundian.
Abang Johari menang di DUN Gedong, manakala dua Timbalan Premier Sarawak, Douglas Uggah Embas dan Awang Tengah Ali Hasan, masing-masing mempertahankan kerusi Bukit Saban dan Bukit Sari.
Turut mencatat kemenangan tanpa bertanding ialah Ketua Penerangan GPS, Abdul Karim Rahman Hamzah, di Asajaya yang menyaksikan beliau mengekalkan kerusi berkenaan untuk penggal keenam.
Antara pemimpin lain yang turut menang tanpa bertanding ialah Ibrahim Baki di Satok, Julaihi Narawi di Sebuyau, Gerald Rentap Jabu di Layar dan Len Talif Salleh di Kuala Rajang.
Selain itu, Azizul Annuar Adenan, anak kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Adenan Satem, turut memenangi kerusi Tanjong Datu tanpa pertandingan.
Sebelum ini, Abang Johari dilaporkan memaklumkan GPS berpotensi memperoleh kemenangan tanpa bertanding di kira-kira 30 kerusi DUN.
Kemenangan 29 kerusi itu memberikan kelebihan besar kepada GPS menjelang hari pengundian yang dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini.
Bagaimanapun, sebanyak 53 kerusi lagi masih perlu ditentukan melalui proses pengundian bagi melengkapkan komposisi keseluruhan 82 kerusi DUN Sarawak.
Untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah, sesebuah gabungan perlu menguasai sekurang-kurangnya 42 kerusi.
PRN Sarawak kali ini menjadi medan penting kepada GPS untuk mempertahankan kedudukan sebagai gabungan pemerintah negeri, selain menguji kekuatan parti-parti pembangkang dalam usaha mencabar dominasi politik gabungan itu.
DAP mahu undang-undang baharu ganti Akta Hasutan: Gobind
Prestasi Loke baik, Anwar mahu Loke kembali bertugas segera
Dokumen sudah dinyahklasifikasi, apa lagi hendak disiasat? – Tony Pua
Enam Exco N9 angkat sumpah, Tuanku Muhriz ingatkan jangan lampaui kuasa
Isu minit Najib dan penutupan kedai, polis siasat dua pemimpin DAP
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib