PRN Sarawak: 7,500 anggota polis siap siaga

November 25, 2026 · Politik

Polis Sarawak menggerakkan lebih 7,500 pegawai dan anggota bagi memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 berlangsung dalam keadaan aman, selamat dan teratur pada 12 Disember depan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Komisioner Saifullizan Ishak berkata, persiapan menghadapi pilihan raya itu sudah dimulakan lebih awal dengan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan anggota, aspek keselamatan, logistik serta penyelarasan operasi bersama agensi berkaitan.

Menurutnya, hampir 5,000 anggota akan ditugaskan pada hari penamaan calon, manakala lebih 7,500 anggota dikerahkan pada hari pengundian bagi memastikan keselamatan di seluruh kawasan pilihan raya terjamin.

“Kami juga mendapat bantuan seramai 250 pegawai dan anggota daripada Bukit Aman dan kontinjen Sabah,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, aspek logistik turut diberi perhatian dengan penggunaan aset sedia ada serta penyewaan kenderaan, bot, helikopter dan bas bagi memenuhi keperluan operasi.

Katanya, Polis Sarawak mempunyai dua helikopter yang disifatkan mencukupi untuk membantu penugasan sepanjang PRN, namun penambahan bot dan kenderaan masih diperlukan, khususnya bagi pergerakan anggota ke kawasan pedalaman yang sukar diakses.

Saifullizan berkata, persiapan setakat ini berjalan lancar hasil beberapa siri mesyuarat penyelarasan dan taklimat bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta agensi lain yang terbabit.

Semua Ketua Polis Daerah turut dilibatkan dalam sesi taklimat bagi memastikan arahan dan perancangan operasi dapat diselaraskan sehingga ke peringkat daerah.

“Kita berharap suasana aman dan tertib seperti pilihan raya terdahulu di negeri ini dapat dikekalkan, selain semua pihak menghormati undang-undang serta mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan,” katanya.

Beliau turut menegaskan PDRM akan melaksanakan semua penugasan secara neutral, adil dan profesional tanpa dipengaruhi kecenderungan politik peribadi mana-mana anggota.

Menurutnya, kerjasama antara agensi, disiplin anggota dan kesiapsiagaan operasi menjadi faktor penting bagi memastikan keselamatan pengundi, calon serta petugas pilihan raya sepanjang proses demokrasi itu berlangsung.

Untuk rekod, SPR menetapkan 12 Disember 2026 sebagai hari pengundian PRN Sarawak Ke-13, yang bakal menyaksikan persaingan parti-parti politik merebut mandat rakyat untuk membentuk kerajaan negeri bagi penggal seterusnya.

Berita berkaitan
PKR tidak bertanding PRN Sarawak, hormati kerjasama dengan GPS
10 jam lalu· Politik
PH Negeri Sembilan desak kemelut politik diselesaikan segera
November 23, 2026· Politik
PAS masih jadi rebutan, Idris persoal pihak yang mahu kerjasama
November 23, 2026· Politik
SPR daftar hampir 42,000 pengundi baharu pada Oktober
November 23, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Isu minit pengampunan Najib, Polis mungkin panggil Tony Pua
12 jam lalu · Politik
Hujah Badan Peguam cabar tahanan rumah Najib didengar 17 Mac 2027
20 jam lalu · Politik
Menang di Melaka, Mahfuz desak BN-PN umum pakatan
20 jam lalu · Politik
Kuasa pengampunan Agong tidak boleh dicabar: AGC
20 jam lalu · Politik
Bukan kerajaan sebar dokumen pengampunan Najib, jangan buat tohmahan
23 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
11 jam lalu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok