Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan senarai lengkap 82 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dengan menampilkan 11 muka baharu bagi memberi ruang kepada generasi pelapis kepimpinan negeri.
Pengerusinya, Abang Johari Tun Openg berkata, calon baharu yang merangkumi golongan profesional dan anak muda itu mewakili kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan calon GPS.
Beliau berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha meremajakan gabungan itu selain membuka peluang kepada pemimpin baharu untuk membawa aspirasi rakyat Sarawak.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada penyandang yang telah berkhidmat mewakili GPS pada penggal lepas dan berundur diri bagi memberi laluan kepada muka baharu.
“Ini adalah langkah untuk kita meremajakan GPS,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai calon di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari merakamkan penghargaan kepada beberapa parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Barisan Nasional (BN), PKR dan Amanah yang memutuskan untuk tidak bertanding pada PRN kali ini.
Menurutnya, pendirian itu mencerminkan komitmen untuk memelihara kestabilan politik di Sarawak.
Abang Johari yang juga Premier Sarawak turut mengesahkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong bagi penggal kedua.
Sebelum ini, beliau menyandang kerusi DUN Satok selama sembilan penggal sebelum beralih ke Gedong.
PRN Sarawak ke-13 menyaksikan GPS mempertaruhkan kesemua 82 kerusi DUN dalam usaha mengekalkan penguasaan politik negeri itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal berlangsung pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember.
Pada PRN Sarawak 2021, GPS mencatat kemenangan besar apabila memperoleh 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. Parti Sarawak Bersatu (PSB) pula memenangi empat kerusi, manakala DAP memperoleh dua kerusi.
GPS terdiri daripada empat parti komponen iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Anwar belum terima peletakan jawatan Anthony Loke
Isu minit pengampunan Najib, Polis mungkin panggil Tony Pua
Hujah Badan Peguam cabar tahanan rumah Najib didengar 17 Mac 2027
Menang di Melaka, Mahfuz desak BN-PN umum pakatan
Kuasa pengampunan Agong tidak boleh dicabar: AGC
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib