Perdana Menteri, Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu Anthony Loke kembali menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan secepat mungkin selepas Setiausaha Agung DAP itu mengambil cuti susulan hasratnya untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet.
Anwar berkata, beliau menghormati alasan dikemukakan Ahli Parlimen Seremban itu, namun berpendapat tanggungjawab kepada rakyat dan negara perlu menjadi keutamaan berbanding pertimbangan peribadi.
Beliau mengakui sukar menerima keputusan Loke untuk berundur, terutama mengambil kira prestasi dan sumbangan menteri itu sepanjang menerajui Kementerian Pengangkutan.
“Saya faham dia mahu letak jawatan, tetapi saya katakan alasan apa pun tidak boleh mengatasi peranan kita untuk mengabdikan tugas serta tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
“Beliau ketika ini sedang bercuti dan saya nak minta dia sambung kerja secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Yakin MADANI Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini.
Anwar turut menyifatkan prestasi Loke sebagai baik dan membanggakan, selain menegaskan kepentingan portfolio Pengangkutan yang memainkan peranan besar dalam menghubungkan rakyat melalui sistem perhubungan dan pengangkutan negara.
“Prestasi beliau baik dan membanggakan. Jadi, saya sukar menerima cadangan beliau untuk meletakkan jawatan walaupun alasan-alasan beliau saya hormat dan faham.
“Tambahan pula, beliau menerajui satu kementerian penting yang menghubungkan rakyat dari segi perhubungan dan pengangkutan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata beliau sendiri meminta Loke menghadiri majlis berkenaan memandangkan program itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri Sembilan.
Untuk rekod, Loke mengumumkan hasrat meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan pada 10 November lalu susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Keputusan mahkamah itu mencetuskan reaksi politik, khususnya dalam DAP yang sebelum ini menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan pemberian pengampunan bersyarat kepada Najib.
Bagaimanapun, Anwar sebelum ini menegaskan beliau belum menerima peletakan jawatan Loke dan meminta pemimpin DAP itu mengambil cuti terlebih dahulu sementara perkara berkenaan dibincangkan.
PRN Sarawak: GPS kuasai 29 kerusi tanpa bertanding
Dokumen sudah dinyahklasifikasi, apa lagi hendak disiasat? – Tony Pua
Enam Exco N9 angkat sumpah, Tuanku Muhriz ingatkan jangan lampaui kuasa
Isu minit Najib dan penutupan kedai, polis siasat dua pemimpin DAP
Nazri mahu UMNO-PAS runding kerusi, Wawasan diketepikan: Laporan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib