Ahmad Amzad memuat naik satu hantaran dengan memberi nasihat kepada Anwar supaya berhati-hati memilih pakaian bersesuaian ketika pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim memohon maaf kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung kenyataan melibatkan isu baju batik yang dipakai semasa di Parlimen semalam.
Wakil rakyat PAS itu semasa di Dewan Rakyat semalam mendakwa baju batik dipakai Anwar bercorak asal Indonesia dalam satu hantaran di Facebook dan mengakui kesilapannya.
Malah, Ahmad Amzad juga menerima maklum balas daripada beberapa usahawan batik termasuk pengeluar baju batik dipakai Anwar sendiri yang menjelaskan perkara sebenar kepadanya.
“Pemilik Bujins Batik menjelaskan ia keluaran mereka. Saya tidak akan pertahankan khilaf saya dan hanya sedar sebentar tadi dimaklumkan pegawai saya kerana saya dalam kenderaan sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur kembali ke Kuala Terengganu tidak mengikuti perkembangan hantaran tersebut.
“Yang itu memang salah saya dan perlu saya betulkan segera,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Amzad memuat naik satu hantaran dengan memberi nasihat kepada Perdana Menteri supaya berhati-hati memilih pakaian bersesuaian ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Dalam hantaran itu, beliau turut mempertikaikan tindakan Anwar memakai baju batik corak Indonesia, sedangkan pemakaian pakaian itu pada Khamis adalah untuk menonjolkan keunikan batik Malaysia sebagai warisan dan identiti bangsa sebelum bertindak memadamkan kenyataannya.
Justeru, Ahmad Amzad mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi teguran dan menjelaskan bahawa niatnya hanyalah untuk memberikan pandangan sebagai wakil rakyat yang prihatin terhadap industri batik tempatan.
“Kepada Perdana Menteri, saya minta maaf. Niat saya hanyalah memberikan pandangan kerana sebagai wakil rakyat Terengganu yang sentiasa bergaul dengan ramai pengusaha batik Malaysia, antara isu yang selalu dibangkitkan adalah tentang nasib industri Batik Malaysia.
“Pohon maaf sekali lagi. Dengan hormatnya,” katanya.
Rundingan jadi kunci redakan isu BN-PH di Negeri Sembilan: Zahid
Zahid tolak langkah ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan: Loke
Sayap pemuda DAP desak pecat Tok Mat, dakwa jejaskan kestabilan kerajaan
Keputusan 14 ADUN dihormati, namun sokongan kepada kerajaan Negeri Sembilan diteruskan
Krisis Negeri Sembilan isyarat jelas UMNO mahu bertanding solo PRU-16: Rafizi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan