Kedaulatan negara tidak terjejas dalam rundingan tarif import AS: Zafrul

August 1, 2025 · Isu semasa

Rundingan perdagangan dalam tarif import dengan Amerika Syarikat (AS) dibuat tanpa menjejaskan hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar utama yang menyokong kestabilan serta pertumbuhan sosio-ekonomi negara.

Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan langkah pentadbiran Donald Trump mengurangkan tarif dikenakan kepada Malaysia hasil daripada proses rundingan yang teliti dan sistematik.

“Keputusan ini mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh dan berterusan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Ia juga membuktikan kredibiliti Malaysia sebagai rakan dagang dan pelaburan yang boleh dipercayai.

“Kami merakamkan penghargaan kepada rakan runding kami di AS, terutamanya Pejabat Wakil Perdagangan AS dan Jabatan Perdagangan AS, atas kerjasama membina sepanjang proses rundingan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Malaysia dikenakan tarif sebanyak 25 peratus berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani oleh pentadbiran Trump pada Jumaat.

Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025 itu telah dimuat naik di laman sesawang Rumah Putih.

Tambah Tengku Zafrul, MITI akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk memaksimumkan peluang daripada perkembangan itu termasuk momentum pelaburan yang diluluskan, projek infrastruktur yang sedang berjalan, kadar realisasi pelaburan melebihi 85 peratus serta inisiatif pembangunan negara yang bersifat pemangkin.

“Kami kekal komited dalam mempertahankan kepentingan perdagangan Malaysia sambil memupuk kerjasama yang saling menguntungkan dengan ekonomi utama dunia termasuk AS.

“Malaysia juga akan meneruskan reformasi industri dan usaha strategik mempelbagaikan perdagangan bagi menyokong pertumbuhan negara,” katanya.

Menurutnya, MITI juga telah bekerjasama rapat dengan agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menilai kesan pelbagai tahap tarif terhadap KDNK Malaysia.

Ujarnya, dalam usaha menguruskan impak daripada kadar 19 peratus ini, MITI akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk mencari kaedah mengurangkan kesan tarif terhadap eksport Malaysia.

“Kami juga akan menggalakkan pengeksport memanfaatkan sepenuhnya 18 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia bagi mempelbagaikan dan mengembangkan pasaran eksport.

“Selain itu, MITI akan meneruskan program reformasi industri seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Pelaburan Hijau dan Strategi Semikonduktor Negara untuk membantu syarikat Malaysia mempertingkat kecekapan, mengadaptasi automasi, dan meningkatkan produktiviti.

“MITI juga akan meneroka kaedah sokongan tambahan kepada syarikat tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi menyesuaikan diri dengan kadar tarif baharu ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, landskap ekonomi global sejak Mac 2025 menjadi semakin tidak menentu berikutan perubahan dasar perdagangan, ketidaktentuan tarif dan ketegangan geopolitik yang meningkat.

Jelasnya, sebagai sebuah ekonomi terbuka, prospek pertumbuhan Malaysia sangat dipengaruhi oleh faktor luaran ini.

“Walau bagaimanapun, MITI menegaskan bahawa Malaysia menghadapi cabaran ini dari posisi yang kukuh dan berdaya tahan, berkat permintaan domestik yang terus mapan hasil sokongan dasar berterusan serta reformasi industri dan ekonomi yang menggalakkan perbelanjaan swasta.

“MITI mengalu-alukan keputusan AS untuk menurunkan kadar tarif timbal balas terhadap eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

“Keputusan positif ini adalah hasil daripada keterlibatan berterusan antara kedua-dua kerajaan melalui pelbagai platform dua hala dan mencerminkan hubungan perdagangan serta pelaburan yang saling melengkapi antara Malaysia dan AS selama lebih 60 tahun.

“Kadar tarif 19 peratus ini juga selari dengan kadar yang dikenakan terhadap negara-negara Asia Tenggara lain,” katanya.

Sementara itu, MITI turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam proses rundingan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pejabat Perdana Menteri, pelbagai kementerian dan agensi, Dewan Perdagangan Amerika-Malaysia (AMCHAM), Majlis Perniagaan AS-Asean (USABC), serta wakil badan pemikir dan industri.

Ujarnya lagi, mereka telah memainkan peranan penting dalam merangka tawaran terbaik Malaysia kepada AS.

“Dalam bulan-bulan akan datang, MITI bersama kementerian dan agensi berkaitan akan melaksanakan program penerangan bersasar mengenai pelaksanaan kadar tarif baharu ke atas eksport Malaysia ke pasaran AS.

“MITI berharap untuk terus mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan AS pasaran eksport terbesar Malaysia yang bernilai RM198.65 bilion serta sumber utama pelaburan asing dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM32.82 bilion pada tahun 2024,” katanya.

Berita berkaitan
Harga beras Asia naik mendadak ekoran krisis Asia Barat
23 jam lalu· Isu semasa
Dron AS bernilai AS$238 juta hilang semasa operasi di Iran: Laporan
23 jam lalu· Isu semasa
Amanah kritik cadangan PAS tangani krisis ekonomi tak realistik
April 15, 2026· Politik
Harga minyak boleh naik hingga AS$150 setong jika konflik berlarutan
April 14, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Ringgit terus mengukuh, pasaran tunggu data KDNK suku pertama
3 jam lalu · Isu semasa
Pelaburan RM2 bilion perkasa usahawan bumiputera: Anwar
14 jam lalu · Isu semasa
Seorang didakwa, lima dikompaun kes berita palsu isu minyak: MCMC
14 jam lalu · Isu semasa
Keperluan bahan api dalam negara diutamakan sebelum bekal kepada Australia: PMX
23 jam lalu · Isu semasa
Pemandu bas, teman wanita direman kes video tular riba sambil memandu
23 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
February 13, 2026
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan
February 13, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok