Isu berkaitan cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia.
Syarikat-syarikat di Malaysia diarahkan supaya tidak menjalankan sebarang urus niaga dengan firma yang disenarai hitam oleh Amerika Syarikat (AS) susulan isu berkaitan cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia dan syarikat Megaspeed International.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dikeluarkan bagi mengelakkan syarikat tempatan berdepan komplikasi dalam urusan perniagaan dan perdagangan susulan tindakan sekatan yang dikenakan Washington.
Beliau berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Johari Abdul Ghani telah memberikan penjelasan lanjut kepada Jemaah Menteri berhubung perkembangan penyenaraian hitam beberapa syarikat yang mempunyai kaitan dengan isu berkenaan.
“Beliau memaklumkan kepada Jemaah Menteri syarikat-syarikat di Malaysia telah diarahkan untuk tidak mengadakan sebarang urus niaga dengan syarikat yang disenarai hitam oleh pihak Amerika Syarikat bagi mengelakkan sebarang komplikasi dalam urusan perniagaan dan perdagangan mereka,” katanya pada sidang media mingguan hari ini.
Pada 24 November lalu, Jabatan Perdagangan AS menyenaraihitamkan Megaspeed International, sebuah syarikat berpangkalan di Singapura, bersama beberapa firma sekutunya di Malaysia, Singapura dan Thailand.
Tindakan itu bertujuan menghalang syarikat berkenaan daripada mendapatkan cip AI dan teknologi canggih lain tanpa lesen kerajaan AS.
Washington dipercayai bimbang teknologi berprestasi tinggi berkenaan berpotensi disalurkan kepada China, sekali gus melanggar kawalan eksport yang ditetapkan negara itu.
Isu berkenaan turut memberi perhatian kepada kedudukan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan teknologi global, khususnya industri semikonduktor dan pengkomputeran berprestasi tinggi yang mempunyai hubungan perdagangan merentasi pelbagai negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, MITI sedang mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat di AS berhubung isu tarif perdagangan yang dikenakan terhadap Malaysia.
Menurutnya, perbincangan itu turut menyentuh beberapa perkara yang dibangkitkan Washington, termasuk isu buruh paksa dan lebihan kapasiti pengeluaran atau *excess capacity* yang dikaitkan dengan lambakan produk di pasaran.
“Terutama dalam isu berkaitan lambakan atau lebihan kapasiti ini, pihak MITI sedang mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat di AS untuk memberi penerangan dan penjelasan bagi menjawab beberapa perkara yang dibangkitkan oleh pihak mereka,” katanya.
Kerajaan dijangka terus memperkukuh komunikasi dengan pihak AS bagi memastikan kepentingan perdagangan Malaysia terpelihara, selain mengelakkan syarikat tempatan terdedah kepada risiko pelanggaran sekatan eksport antarabangsa.
Saman MCMC tidak jejas pelaburan Google di Malaysia: PMX
Tiga pegawai TUDM didakwa di mahkamah edar 96.2kg syabu
Saman MCMC RM600 juta terhadap Google sudah diserahkan: Nie Ching
Bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail meninggal dunia
367,537 kandungan scam, akaun palsu dan deepfake dipadam
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib