Kes mahkamah.
Seorang guru Bahasa Inggeris, Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas tuduhan menyebarkan hantaran palsu mengenai kematian pelajar sekolah, Zara Qairina Mahathir.
Tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani. Menurut kertas pertuduhan, Siti Hajar didakwa memuat naik kenyataan palsu melalui akaun TikTok miliknya pada 6 Ogos lalu sekitar jam 1.20 petang.
Hantaran tersebut dilihat oleh seorang anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) dan didakwa boleh menimbulkan kegentaran awam serta mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kesalahan ini dikenakan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Peguam tertuduh, Zaiful Bahrain, memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya berkhidmat sebagai guru bawah Kementerian Pendidikan dan mempunyai tanggungan lima orang termasuk tiga anak yang masih bersekolah serta ibu bapa uzur.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd Izhar, memohon jaminan yang bersesuaian memandangkan sifat kesalahan yang boleh menimbulkan keresahan awam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 9 Oktober depan.
Kes ini berkaitan dengan kematian Zara Qairina, pelajar tingkatan satu yang meninggal dunia pada Julai lalu dalam insiden yang didakwa berkaitan dengan buli.
Sebelum ini, polis telah membuka 15 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu mengenai kematiannya, termasuk dakwaan tidak berasas bahawa mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Pada 13 Ogos lalu, polis menahan seorang wanita di Rawang yang dipercayai menyebarkan maklumat palsu mengenai kes tersebut.
Pengguna Waze dedah paparan data yang disimpan, cetus persoalan privasi
Fahmi umum bantuan untuk dua wartawan kemalangan
Dalang kapal bawa dadah RM785 juta dikenal pasti, polis buru suspek
Sultan Selangor: Teguran demi rakyat, bukan pertelingkahan
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum