DAPSY Negeri Sembilan buat laporan terhadap Adun Manjoi berikutan kenyataan berbaur perkauman.
DAPSY Negeri Sembilan membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri, berhubung kenyataannya yang mendakwa seorang wanita berbangsa Cina menerjah Sultan Perak semasa sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh, Perak, semalam.
Dalam kenyataan media, DAPSY Negeri Sembilan menyifatkan kenyataan oleh Ketua Pemuda PAS Perak tersebut sebagai amat serius kerana dibuat tanpa pengesahan dan didakwa bermotifkan politik.
“Kami amat kesal dengan kenyataan yang jelas bertujuan memecahbelahkan perpaduan kaum. Ia juga mencerminkan kelemahan pihak pembangkang yang gagal menunjukkan pencapaian bermakna sehingga terpaksa menggunakan taktik murahan untuk meraih sokongan,” menurut kenyataan itu.
Difahamkan, Hafez sebelum ini mendakwa seorang wanita Cina menghampiri Sultan Perak semasa majlis sambutan tersebut.
Namun, pihak berkuasa kemudian mengesahkan wanita terbabit berusia 41 tahun merupakan seorang Melayu yang mempunyai masalah kesihatan mental dan telah ditahan reman selama tiga hari hingga esok.
DAPSY menegaskan sebagai wakil rakyat, Hafez sepatutnya lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan yang berpotensi menanam kebencian dalam masyarakat.
“Apa yang lebih mendukacitakan ialah tuduhan palsu itu telah tular dan dipercayai sebahagian masyarakat, sehingga mencetuskan kenyataan berbaur perkauman di media sosial.
“Perkara ini amat dikesali terutamanya ketika sambutan Hari Kebangsaan, saat seluruh rakyat sepatutnya meraikan semangat perpaduan dan keharmonian. Ini juga merupakan kenyataan yang salah di sisi undang-undang,” jelas kenyataan tersebut.
DAPSY Negeri Sembilan berpendapat kenyataan ADUN Manjoi itu didakwa melanggar Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Oleh itu, mereka menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas agar insiden seumpama ini tidak berulang dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia terus terpelihara.
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
Isu PRN Melaka: MP DAP dan Akmal bertikam lidah
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan