Projek pembinaan bangunan setinggi 60 tingkat di kawasan Bukit Damansara.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyatakan tiada sebarang kelulusan muktamad telah diberikan kepada cadangan projek pembinaan bangunan setinggi 60 tingkat di kawasan Bukit Damansara.
Penjelasan DBKL itu susulan kebimbangan dan bantahan orang ramai serta beberapa pihak berhubung projek yang dilaporkan media.
Menurut kenyataan rasmi DBKL, permohonan berkenaan masih berada di peringkat awal pemprosesan untuk pelan susun atur.
Cadangan pembangunan perdagangan di atas tiga lot tanah seluas 3.23 hektar itu perlu melalui penelitian yang teliti.
“DBKL ingin menegaskan bahawa setiap keputusan berkaitan pembangunan bandar sentiasa berpaksikan kepada dasar sedia ada serta pelan pembangunan yang diwartakan,” jelas kenyataan itu.
Setiap projek pembangunan di ibu kota, termasuk cadangan ini, wajib mematuhi Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang baru diwartakan.
Selain itu, pemaju juga perlu memenuhi pelbagai syarat teknikal yang ketat.
“Setiap cadangan pemajuan perlu mematuhi syarat-syarat teknikal seperti Penilaian Impak Trafik (TIA), Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), dan Penilaian Impak Sosial (SIA),” jelas DBKL.
Proses kelulusan turut melibatkan penglibatan agensi teknikal lain seperti TNB, Jabatan Bomba, dan Lembaga Lebuhraya Malaysia.
DBKL menekankan keputusan hanya akan dibuat selepas proses libat urus awam dan penelitian teknikal yang komprehensif dilaksanakan sepenuhnya.
“DBKL juga komited memastikan setiap pembangunan di Kuala Lumpur dilakukan secara teratur, mampan dan tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat,” tambah kenyataan tersebut.
Kenyataan DBKL ini dilihat sebagai menjawab gesaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang sebelum ini meminta pihak berkuasa meneliti kesan pembinaan terhadap penduduk sekitar sebelum sebarang projek diluluskan.
Sasar 5,010 peserta sertai latihan AI di NADI seluruh negara: Fahmi
Kerajaan perkasa bantuan guaman syarie dengan peruntukan baharu RM1.5 juta: PMX
Portal rasmi KKM diserang penggodam
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar