Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Naratif ekonomi negara telah berubah daripada fasa ketidaktentuan kepada landasan pemulihan yang kukuh dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kata Anwar Ibrahim.
Berucap pada Forum Megatrends Khazanah 2025 (KMF 2025) hari ini, Perdana Menteri menegaskan transformasi daripada langkah defensif kepada penstrukturan semula yang proaktif telah membuahkan hasil sehingga menyaksikan pemulihan ekonomi berjalan dengan mantap.
“Pertumbuhan kekal stabil, inflasi terkawal dan kadar pengangguran rendah,” ujarnya.
Namun, Anwar menekankan ukuran kejayaan sebenar bukan terletak pada kestabilan semata-mata, tetapi pada kesediaan negara untuk berdepan dengan sebarang gangguan baharu pada masa hadapan.
Menurutnya, langkah-langkah memperkukuh disiplin fiskal, menambah baik tadbir urus, dan menyalurkan perbelanjaan ke bidang strategik seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur digital serta ekonomi hijau telah berjaya mengembalikan keyakinan pelabur.
“Keyakinan pelabur akan terus meningkat apabila kerajaan menunjukkan keberanian untuk melaksanakan reformasi, disertai keupayaan untuk berbelanja secara strategik,” katanya sambil menambah laluan penyatuan fiskal yang dilaksanakan berteraskan tanggungjawab dan keutuhan.
Tambah Anwar, pertumbuhan modal mesti seiring dengan peluasan sosial berasaskan keadilan selaras dengan semangat Malaysia Madani.
“Reformasi ini bukan semata-mata untuk memperkukuh angka makroekonomi, tetapi untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Ekonomi bukan matlamat mutlak; ia alat bagi menjamin maruah dan kebajikan manusia,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan pentingnya tadbir urus yang baik sebagai kompas moral sesebuah negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Anwar juga berharap agar institusi pelaburan strategik seperti Khazanah Nasional terus menjunjung falsafah kepemimpinan beramanah.
“Khazanah harus menjadi contoh dalam memupuk pertumbuhan yang inklusif dan mampan,” katanya.
Di akhir ucapannya, Anwar menyeru agar Malaysia terus kekal sebagai rakan yang boleh dipercayai di persada dunia, berpaksikan kestabilan, tadbir urus yang baik, dan keberanian moral.
Projek RM1.1 bilion: Bekas pembantu Rafizi sambung beri keterangan esok
Seorang individu didenda RM30,000 hina institusi kehakiman di FB: MCMC
Permohonan pindah kes rasuah Shamsul Iskandar ditolak mahkamah
Malaysia kekal terbuka terima pelabur, tapi kedaulatan diutamakan: Anwar
Seorang lelaki disiasat berhubung kandungan hina Sultan Selangor: MCMC
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan