Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi amaran tidak akan melindungi mana-mana anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah, termasuk menyerahkan mereka kepada polis walaupun berdepan hukuman mati.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin, berkata tiada kompromi terhadap perbuatan jenayah itu kerana ia bukan sahaja mencemarkan imej pasukan keselamatan, malah membabitkan penyalahgunaan aset ketenteraan.
“Kita tidak teragak-agak menyerahkan sesiapa sahaja yang melakukan perkara sebegitu kepada polis walaupun mereka berhadapan hukuman mati, gantung atau penjara seumur hidup.
“Kita tidak kompromi dalam hal ini dan ini adalah amaran kepada semua anggota,” katanya selepas merasmikan Karnival CIMIC Johor 2026 di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Pasir Gudang, hari ini.
Menurutnya, setakat ini lapan anggota ATM ditahan berhubung kes penyeludupan dadah membabitkan enam pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat.
Daripada jumlah itu, tiga sudah didakwa di mahkamah, manakala lima lagi masih dalam siasatan polis.
Khaled tidak menolak kemungkinan lebih ramai anggota ditahan sekiranya siasatan polis menemukan bukti penglibatan pihak lain.
Beliau berharap siasatan menyeluruh dapat membersihkan ATM, khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), daripada sebarang unsur jenayah dan salah laku.
“Kalau ada tangkapan, tidak mengapa. Kes ini kena disiasat sehingga semua yang terbabit dapat ditangkap, tidak kira siapa,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mahu polis memberi tumpuan kepada usaha mengesan dalang sebenar sindiket berkenaan yang dipercayai memperalatkan anggota tentera bagi melancarkan kegiatan penyeludupan dadah.
Katanya, anggota yang ditahan dipercayai hanya menjadi alat kepada sindiket dan perbuatan mereka tidak seharusnya menggambarkan keseluruhan warga TUDM.
“Kita berharap polis dapat menangkap dalang sebenar kerana kita sudah memberikan laluan melalui semua maklumat yang diberikan anggota tentera yang ditahan.
“Saya tidak ada niat untuk mempertahankan sesiapa. Sebab itulah kita tangkap, serahkan kepada polis dan biar mereka siasat. Kita akan pergi sampai ke lubang cacing,” katanya.
Susulan kes itu, TUDM turut menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi menutup sebarang kelemahan yang boleh dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
Khaled berkata, MINDEF juga boleh menjalankan siasatan dalaman terhadap anggota yang tidak didakwa atau dilepaskan polis bagi menentukan kesesuaian mereka untuk terus berkhidmat dalam ATM.
Tegasnya, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan integriti pasukan keselamatan terus terpelihara dan kepercayaan rakyat terhadap ATM tidak terjejas.
Semalam, tiga pegawai TUDM bersama tiga orang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan mengedar kira-kira 96.2 kilogram dadah jenis methamphetamine di Pangkalan Udara Subang pada 17 November lalu.
Kes itu mencetuskan perhatian terhadap aspek keselamatan pangkalan tentera serta kemungkinan wujudnya rangkaian sindiket dadah yang menggunakan kemudahan dan kedudukan anggota keselamatan untuk menjalankan kegiatan jenayah.
Asyraf tegur hiburan konsert di konvokesyen UniKL, arah semak etika
MySiren diuji esok, telefon bimbit bakal terima amaran serentak
Isu cip Nvidia: Malaysia arah syarikat elak urus niaga dengan firma disekat AS
Saman MCMC tidak jejas pelaburan Google di Malaysia: PMX
Saman MCMC RM600 juta terhadap Google sudah diserahkan: Nie Ching
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib