Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberikan sokongan emosi dan psikososial kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta guru di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, berikutan kes rogol berkumpulan yang melibatkan empat pelajar lelaki Tingkatan 5 minggu lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menekankan langkah ini diambil bagi memastikan calon peperiksaan dapat menumpukan perhatian dan membuat persiapan terakhir untuk SPM yang bakal bermula pada 3 November ini.
“Kumpulan kaunselor akan turun memberikan sokongan penuh kepada warga sekolah dan pelajar (calon SPM) kerana sekolah berkenaan adalah antara yang menunjukkan prestasi terbaik di Melaka,” jelas Fadhlina selepas mengadakan pertemuan khas dengan pihak polis dan jabatan pendidikan negeri di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Bukit Beruang.
“Tumpuan penuh akan diberikan kepada guru serta calon SPM, itu yang kita utamakan ketika ini termasuk dari segi persiapan mereka untuk menghadapi peperiksaan supaya mereka tidak terganggu dengan kes ini,” tambahnya.
Mengenai empat pelajar yang disyaki terlibat, Fadhlina mengesahkan mereka masih dibenarkan menduduki peperiksaan SPM.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan pendidikan mereka tidak terjejas, walaupun mereka mungkin berhadapan tindakan undang-undang.
“Tindakan undang-undang terhadap mereka sudah diserahkan sepenuhnya kepada polis, manakala kementerian saya memberi tumpuan kepada aspek disiplin, ekosistem sekolah serta sokongan emosi dan psikososial kepada semua pihak yang terbabit,” ujarnya.
Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai agar lebih prihatin dan berhati-hati apabila membincangkan kes ini memandangkan ia melibatkan individu bawah umur yang dilindungi di bawah undang-undang.
Keempat-empat suspek yang juga calon SPM itu telah direman enam hari sehingga 16 Oktober bagi membantu siasatan kes rogol ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 yang dilaporkan berlaku dalam kelas sekolah berkenaan.
Kapal bantuan Gaza dipintas, Malaysia kecam tindakan tentera Zionis: Fahmi
Kerajaan usaha bebaskan aktivis GSF, PMX rayu keluarga terus kuat
Pengesahan identiti pengguna: Penyedia platform media sosial beri kerjasama positif
Penjimatan kerajaan fokus belanja tidak kritikal, tak termasuk kesihatan dan pendidikan: MOF
Misi Flotilla Gaza 2.0: 10 warga Malaysia disahkan terputus hubungan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan