Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Saman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google LLC berhubung dakwaan kegagalan menangani kandungan memudaratkan di platform YouTube sudah diserahkan kepada peguam syarikat itu di Malaysia.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, setakat ini beliau dimaklumkan proses penyerahan saman berkenaan sudah dilakukan kepada wakil perundangan Google di negara ini.
“Setakat pengetahuan saya, saman ini telah diserahkan kepada Google, kepada peguam mereka di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Aspirasi MADANI dan Apresiasi Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan Murni Jaya, hari ini.
Menurut Nie Ching, tindakan saman terhadap Google itu merupakan kali pertama dilakukan MCMC, selepas sebelum ini suruhanjaya berkenaan mengambil tindakan undang-undang terhadap platform Telegram.
Katanya, kelemahan sistem saringan kandungan YouTube menyebabkan MCMC terpaksa menggunakan sumber manusia sendiri untuk memantau serta melaporkan kandungan perjudian dalam talian.
Beliau berpandangan Google sepatutnya mempunyai pasukan khusus dan sistem pemantauan berkesan bagi memastikan kandungan melanggar undang-undang tidak terus disiarkan di platform berkenaan.
Berdasarkan statistik MCMC, sebanyak 74,703 laporan dikemukakan kepada YouTube bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Oktober tahun ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 74,569 laporan atau 99.8 peratus membabitkan kandungan perjudian dalam talian.
Pada 25 November lalu, MCMC mengumumkan dua tindakan undang-undang terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan berjumlah RM600 juta.
Saman pertama berkaitan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya bagi menangani kandungan memudaratkan, termasuk perjudian dalam talian dan penipuan.
Saman kedua pula berkaitan penerbitan semula kandungan oleh Papagomo yang didakwa melanggar undang-undang.
Bagi setiap saman, MCMC menuntut ganti rugi RM300 juta merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.
Tindakan undang-undang itu dilihat sebagai langkah memperketat tanggungjawab penyedia platform digital dalam mengawal kandungan yang disiarkan, khususnya apabila melibatkan aktiviti menyalahi undang-undang dan ancaman keselamatan pengguna internet.
Tiga pegawai TUDM didakwa di mahkamah edar 96.2kg syabu
Bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail meninggal dunia
SPRM nafi pilih kasih, siasatan projek jalan KKDW masih berjalan
Malaysia terus runding AS, mahu kekalkan tarif maksimum 19%: Johari
KDN buru individu berprofil tinggi dalam sindiket dadah TUDM
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib