Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menitahkan agar negara ini tidak dijadikan sebagai ‘rumah sengketa’ atau tempat berpesta untuk insan yang ‘mabuk kuasa’.
Baginda mengingatkan segala tindakan yang berpotensi memecahbelahkan perpaduan dan hubungan harmoni antara kaum wajib ditentang secara tegas.
Titah baginda, usaha menyatukan rakyat pasti berdepan halangan besar apabila masih ada yang memilih untuk mensensasikan isu perkauman, agama, dan wilayah.
“Pada waktu kita sepatutnya lebih memberi fokus untuk mematangkan kerjasama dan mengukuhkan persefahaman yang dirintis pemimpin terdahulu, negara ini jangan dijadikan rumah sengketa,” titah Sultan Nazrin dalam ucapannya di Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan di Istana Iskandariah hari ini.
Baginda menegaskan, kemerdekaan negara bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi turut membawa maksud yang lebih mendalam.
“Kemerdekaan itu akan hancur maknanya apabila lidah sebahagian rakyat bersifat lebih bisa daripada anak panah beracun, meracuni fikiran rakyat,” tegas baginda.
Sultan Nazrin juga menekankan Malaysia adalah sebuah negara yang mengiktiraf komposisi penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa.
Baginda berkata, adalah amat merugikan jika kelainan ini dilihat dari sudut negatif yang penuh prasangka.
Semangat muafakat yang diasaskan pemimpin terdahulu, titahnya, perlu terus dihormati dan mana-mana suara yang bercanggah dengannya wajib ditentang.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan sesetengah pihak yang terlalu beremosi, yang boleh membawa kerugian besar kepada negara.
“Rakyat tidak harus dijadikan mangsa persengketaan politik yang bagaikan tidak ada penghujungnya, sedangkan negara lebih memerlukan sumber tenaga dan kekayaan ditumpukan kepada kerja yang lebih produktif,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri, pasukan keselamatan, badan sukarela dan seluruh rakyat yang bersama-sama membangunkan negeri Perak dalam keadaan aman dan sejahtera.
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
MCMC siasat video pementasan 2018 yang kembali tular
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum