SPR menetapkan 29 November sebagai hari mengundi bagi PRN Sabah.
Sebanyak 85 laporan polis telah direkodkan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang bermula pada 15 November lalu, menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun.
Beliau berkata susulan terdapat banyak parti yang terlibat dalam pilihan raya kali ini, beberapa isu tidak dapat dielakkan.
“Antara kesalahan yang dilaporkan termasuk beberapa kes salah guna media sosial dan perbuatan khianat seperti vandalisme yang membabitkan poster, bendera serta bahan kempen lain.
“Aduan-aduan ini merangkumi sebahagian besar laporan yang diterima,” jelas Jauteh ketika berucap kepada media selepas mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
Daripada jumlah laporan tersebut, polis telah membuka 53 kertas siasatan bagi menyiasat perkara itu.
Jauteh turut mendedahkan sehingga semalam, sebanyak 7,288 permit kempen telah dikeluarkan kepada semua petugas pilihan raya.
Bagi memastikan hari pengundian berjalan lancar, beliau mengumumkan lebih 12,000 anggota polis akan dikerahkan di seluruh Sabah pada Sabtu ini.
“Segala persiapan telah dilakukan sebaik mungkin. Kami telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan semua agensi terbabit. Dari pihak polis, kami bersedia sepenuhnya untuk memberikan perkhidmatan, khususnya dari segi keselamatan dan ketenteraman awam,” tegasnya.
Mengenai pengundian awal, Jauteh menasihati semua pegawai dan anggota yang terlibat agar ke lokasi pengundian masing-masing seawal mungkin.
“Buat masa ini, cuaca masih baik, jadi kami galakkan mereka hadir awal untuk menunaikan tanggungjawab. Walaupun khemah disediakan, hujan nanti boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada pengundi,” tambahnya.
Setakat jam 10 pagi, peratusan keluar mengundi awal dicatatkan sebanyak 46.9 peratus.
Anwar imbau detik di Penjara Sungai Buloh
Zahid nafi dititah menghadap Tuanku Muhriz
Krisis takhta NS, Syahredzan nasihat jangan cabar institusi Raja sesuka hati
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum