Sidang media pimpinan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) selepas membuat laporan polis di Dang Wangi.
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim dan barisan Exco negeri itu berhubung keputusan mengiktiraf proklamasi penyingkiran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung PUTRA, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, laporan itu dibuat susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang diputuskan secara sebulat suara pada 15 September lalu.
PUTRA berpandangan tindakan berkenaan wajar disiasat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang berkaitan kesalahan melancarkan perang, cuba melancarkan perang atau bersubahat melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri.
“PUTRA berpandangan tindakan tersebut merupakan satu percubaan untuk mengganggu gugat institusi Raja Negeri Sembilan dan wajar disiasat pihak berkuasa,” katanya semasa sidang media hari ini.
Menurut Nasrul Ali, keputusan Exco berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai proses perundangan yang digunakan sebelum keputusan mengiktiraf proklamasi tersebut dibuat.
“Keputusan tersebut menimbulkan persoalan sama ada pertimbangan perundangan yang sewajarnya telah dibuat dan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri diperoleh sebelum keputusan dipersetujui secara sebulat suara,” katanya.
Beliau turut memberi amaran keputusan itu berpotensi menjadi duluan yang boleh memberi kesan kepada kedudukan institusi Raja-raja Melayu serta perjalanan sistem perundangan negara.
Kemelut institusi diraja Negeri Sembilan tercetus selepas proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang mendakwa Tuanku Muhriz telah diturunkan daripada takhta dan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Pada 16 September lalu, barisan Exco Negeri Sembilan yang dipengerusikan Ismail mengeluarkan kenyataan mengiktiraf proklamasi berkenaan sebagai sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu. Ismail kemudian mengesahkan keputusan itu dibuat secara sebulat suara dan proses pewartaan diminta diteruskan.
Bagaimanapun, kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar kekal dipertikaikan. Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan menyifatkan keputusan Exco itu tidak mempunyai kesan dari sudut undang-undang.
Perkembangan terbaru menyaksikan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 anggota Exco negeri berkuat kuasa serta-merta atas alasan mereka melanggar sumpah jawatan dan ikrar taat setia kepada baginda. Ismail bagaimanapun mempertikaikan keputusan tersebut dan mendakwa pembatalan pelantikan Exco tidak boleh dibuat tanpa nasihat atau permintaan Menteri Besar.
PUTRA menegaskan isu berkenaan perlu diselesaikan berdasarkan undang-undang dan peruntukan Perlembagaan.
“Keluhuran undang-undang dan kedudukan Raja-raja Melayu merupakan asas dalam Perlembagaan serta prinsip Rukun Negara. Justeru, perkara ini hendaklah dihormati dan dipelihara oleh semua pihak,” kata Nasrul Ali.
Ab Rauf titip tiga pesan sebelum DUN Melaka dibubar
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
RM50 juta belum dibayar, Najib masih tunggu proses tahanan rumah: Laporan
Tabung RM50 juta Najib: Wanita PKR persoal UMNO bawa budaya memaafkan perasuah?
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum