Shamsul Iskandar Md Akin.
Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan Albert Tei berhubung dakwaan Anwar Ibrahim memberikan ‘lampu hijau’ untuk merakam secara rahsia ahli politik Sabah.
Laporan itu dibuat di tengah-tengah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah susulan tular video membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri yang baharu meletakkan jawatannya semalam.
Menurut Shamsul Iskandar , tuduhan yang didakwa dilemparkan oleh Tei itu adalah tidak berasas dan merupakan sebahagian daripada “konspirasi jahat” untuk mencemarkan imej Perdana Menteri dan menggugat kestabilan kerajaan.
“Di sela-sela kempen PRU DUN Sabah di Gum Gum, pada jam 5.05 petang tadi saya telah membuat laporan polis terhadap Albert Tei yang telah membuat tohmahan dan tuduhan fitnah kononnya ada arahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah,” jelas Shamsul dalam satu kenyataan di media sosial.
“Perbuatan tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej YAB PM dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen pilihanraya Sabah,” tambahnya lagi.
Shamsul Iskandar, yang juga Ketua PKR Melaka, menambah tidak akan membiarkan mana-mana individu menyalahgunakan namanya atau jawatannya yang lalu untuk menjatuhkan kerajaan.
Tindakan membuat laporan polis diambil bagi mengelakkan dakwaan liar itu terus menular dan menjejaskan keyakinan awam, terutamanya dalam suasana politik yang genting.
Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dengan segera.
“Saya juga sedia memberi kerjasama bagi siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk SPRM,” tambahnya.
Kontroversi ini tercetus susulan tularnya sebuah rakaman video yang mendakwa menunjukkan perbualan antara Tei dan seorang wanita yang didakwa sebagai proksi Shamsul.
Dalam video itu, wanita tersebut mendakwa Anwar memberikan restu kepada Shamsul Iskandar untuk membenarkan rakaman rahsia terhadap ahli politik Sabah berkaitan isu lesen perlombongan.
Kemunculan video itu berlaku tidak lama selepas pendedahan berasingan yang mendakwa Tei telah membelanjakan sejumlah besar wang untuk Shamsul Iskandar.
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
Ahli PAS digesa utamakan dana kompleks parti, bukan tabung Najib: Iskandar
Tahanan rumah Najib: Mahfuz persoal asas undang-undang pengampunan
RM50 juta belum dibayar, Najib masih tunggu proses tahanan rumah: Laporan
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum