Mahfuz Omar.
Naib Presiden Parti Amanah, Mahfuz Omar mempersoalkan asas perundangan yang akan digunakan kerajaan sekiranya keputusan membenarkan Najib Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah dilaksanakan.
Mahfuz berkata kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong wajar dihormati dan tidak melihat keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib sebagai sesuatu yang wajar dipolemikkan dengan institusi Raja.
Namun, menurutnya, persoalan utama kini ialah mekanisme pelaksanaan keputusan berkenaan mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Saya tidak mempertikaikan kuasa pengampunan. Saya mempersoalkan mekanisme pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, Jabatan Penjara sebelum ini menyatakan pihaknya masih menunggu surat rasmi berhubung keputusan itu sebelum memastikan pelaksanaannya selaras dengan peruntukan undang-undang, peraturan penjara serta tatacara yang sedang berkuat kuasa.
Mahfuz turut merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada 20 September yang menjelaskan Malaysia ketika ini belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan tahanan rumah.
Menurut Mahfuz, penjelasan itu turut menimbulkan persoalan kerana cadangan Akta Tahanan Rumah yang sedang dirangka kerajaan pada asalnya bertujuan mengurus tahanan reman bagi mengurangkan kesesakan penjara, bukannya sebagai mekanisme sedia ada untuk pesalah yang sudah disabitkan dan sedang menjalani hukuman.
“Jika tahanan rumah hendak dilaksanakan, apakah peruntukan undang-undang yang menjadi sandarannya?” soalnya.
Beliau menggesa Peguam Negara memberikan penjelasan mengenai asas perundangan serta mekanisme yang akan digunakan bagi melaksanakan keputusan tahanan rumah itu.
Mahfuz berkata, penjelasan terbuka penting bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus dihormati serta mengelakkan isu berkenaan menimbulkan persepsi negatif terhadap Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Kedaulatan undang-undang bukan sekadar disebut dalam Rukun Negara. Ia mesti menjadi prinsip apabila kuasa negara dilaksanakan,” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan supaya pelaksanaan keputusan berkenaan tidak menimbulkan persepsi seolah-olah keputusan dibuat terlebih dahulu sebelum asas undang-undang dicari bagi melaksanakannya.
“Pengampunan boleh dihormati. Tetapi kedaulatan undang-undang mesti tetap ditegakkan.
“Jangan jadikan undang-undang seperti payung yang dibuka selepas hujan turun,” katanya.
Isu tahanan rumah Najib menjadi perhatian selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dilaporkan memberikan pengampunan bersyarat, membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman kes SRC International melalui tahanan rumah, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
PKR Negeri Sembilan pertahan keputusan Tuanku Muhriz, persoal tindakan Exco
PRN Melaka: PH sedia jalan sendiri jika BN tak berminat kerjasama
Sheikh Umar: Sepatutnya Zahid patut letak jawatan, bukan Loke
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum