Menteri Agama, Dr Mohd Na'im Mokhtar
Kementerian Hal Ehwal Agama menyifatkan keputusan AirAsia membenarkan kru kabin wanita memakai hijab di semua laluan penerbangan bermula tahun depan sebagai langkah progresif yang wajar dicontohi syarikat korporat lain.
Menterinya, Dr. Mohd Na’im Mokhtar, memuji pengumuman syarikat penerbangan tambang murah itu sebagai satu komitmen terhadap kepelbagaian dan penghormatan terhadap tuntutan agama pekerja.
“Saya menyambut baik dan mengucapkan tahniah atas keputusan matang oleh pihak pengurusan AirAsia. Usaha murni ini adalah kunci kejayaan dalam merealisasikan pilihan seragam berhijab yang lebih inklusif,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua asatizah dan pihak yang terlibat dalam perbincangan berterusan dengan AirAsia sehingga membuahkan hasil positif tersebut.
Mohd Na’im berharap langkah AirAsia ini akan menjadi pendorong kepada entiti korporat lain di negara ini dalam menyokong hak pekerja menjalani tuntutan agama.
“Saya berharap keputusan AirAsia ini akan menjadi contoh terbaik kepada syarikat-syarikat lain di Malaysia untuk sentiasa prihatin dan menyokong kebebasan serta hak setiap pekerja, selaras dengan semangat perlembagaan negara dan nilai-nilai Malaysia MADANI,” tegasnya.
AirAsia sebelum ini mengumumkan pembaharuan dasar pakaian seragam kru kabinnya, yang membolehkan kru wanita memiliki pilihan memakai hijab ketika bertugas mulai suku pertama 2026.
Dasar baru itu dikatakan selaras dengan evolusi budaya syarikat dan maklum balas daripada pelbagai pihak.
Kerajaan perketat kawalan platform e-dagang, terima aduan pengguna banyak: Fahmi
KJ mohon mahkamah dedah siapa di sebalik artikel fitnah
Pendakwah terkenal didakwa seleweng dana NGO RM13 juta
Kes scam: Ingat arahan bos, kerani pindah RM452,000
Jerebu makin meluas, 29 kawasan catat IPU tidak sihat
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri