Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Anthony Loke membidas Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh kerana mengisytiharkan secara unilateral keputusan Pakatan Harapan (PH) menjadi sebahagian kerajaan Sabah, pada malam keputusan pilihan raya diumumkan.
Setiausaha Agung DAP itu berkata mereka tidak dimaklumkan mengenai pengumuman itu dan tidak menyedari sidang media berkenaan diadakan, lapor China Press.
“Tidak. Saya boleh katakan ini secara terbuka. Tindakan itu salah sama sekali. Pengumuman sedemikian tidak sepatutnya dibuat; ia menjadikan kita bahan ketawa,” katanya dalam satu audio siar berbahasa Cina semalam.
Loke berkata, PKR hanya menang satu kerusi pada PRN 29 Nov di Sabah dan menegaskan pembentukan kerajaan negeri sepatutnya diumumkan oleh parti yang mempunyai kerusi terbanyak.
“Pengumuman itu sepatutnya dibuat Hajiji Noor, pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Sekiranya mereka dapat memperoleh sokongan parti atau ADUN lain, barulah mereka dapat membentuk kerajaan dan membuat pengumuman itu,” katanya.
Fuziah mengadakan sidang media pada malam pengundian dengan mendakwa PH dan GRS telah memperoleh jumlah diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu Sabah.
PH sekadar menang satu kerusi iaitu di Melalap, yang ditandingi calon PKR, manakala DAP pula tumpas semua lapan kerusi ditandinginya.
Sebaliknya, GRS menang 29 kerusi. Selain PH, GRS turut bergabung dengan Barisan Nasional (BN), UPKO, dan lima calon Bebas untuk membentuk pentadbiran negeri.
Wanita PKR gesa institusi raja tidak dijadikan medan politik
Tindakan RoS gantung PN bukan dibuat sewenang-wenangnya: Zahid
MB sahkan Exco Negeri Sembilan dilarang masuk pejabat selepas titah Tuanku
PN ambil tindakan undang-undang selepas digantung RoS: Takiyuddin
Semua kegiatan PN digantung selepas terima aduan Bersatu: RoS
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum