Keputusan PRN Sabah isyarat sokongan kepada parti tempatan mesra kerajaan Persekutuan

December 13, 2025 · Politik

Keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah bulan lalu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa pengundi memberi kelebihan kepada parti tempatan yang mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution Ismail, berkata analisis mesyuarat gabungan PH dan PKR mendapati keputusan PRN itu mencerminkan kehendak sebenar rakyat Sabah yang mahu kepimpinan tempatan, namun dalam masa sama kekal mesra dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, sentimen ‘Sabah for Sabahan’ menjadi faktor utama dalam pola pengundian, sekali gus memberi kelebihan kepada parti tempatan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.

“Apabila kita analisis lebih mendalam, khususnya di 52 kerusi Dewan Undangan Negeri yang menyaksikan pertembungan antara GRS dan Warisan, kemenangan besar berpihak kepada GRS,” katanya.

Beliau menjelaskan dapatan itu membawa mesej penting daripada pengundi Sabah.

“Rakyat Sabah menghantar isyarat jelas ‘Sabah for Sabahan’, tetapi pada masa sama mereka memilih parti tempatan yang lebih mesra dengan Kerajaan Persekutuan. Itu mesej yang paling kuat,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, pilihan pengundi dalam situasi pertembungan sesama parti tempatan menunjukkan keutamaan kepada kestabilan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Itu bukti bahawa faktor hubungan baik dengan Persekutuan diambil kira. Apabila ada pilihan, mereka memilih parti yang secara terbuka lebih selari dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembali ke Sekolah 2026, di sini, hari ini.

Keputusan rasmi PRN17 Sabah yang diumumkan pada 29 November lalu menyaksikan GRS memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri, diikuti Warisan dengan 25 kerusi dan Barisan Nasional enam kerusi.

Selebihnya dimenangi calon Bebas sebanyak lima kerusi, UPKO tiga kerusi, STAR dua kerusi, manakala KDM, Perikatan Nasional dan PH masing-masing satu kerusi.

PRN kali ini merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 64.35 peratus, melibatkan seramai 1,148,476 pengundi.

Berita berkaitan
PRN Melaka: PAS nafi akan umum calon sepentas dengan BN
7 jam lalu· Politik
DUN Sarawak bubar 26 Oktober ini, beri laluan PRN diadakan
8 jam lalu· Politik
Abang Johari panggil sidang media khas, DUN Sarawak bakal bubar?
12 jam lalu· Politik
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
October 22, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Rafizi mahu saman Ramanan susulan kenyataan media
7 jam lalu · Politik
AGC bawa kes pembatalan pendaftaran PN ke Mahkamah Rayuan
8 jam lalu · Politik
Kerajaan terus buru aset 1MDB walaupun Najib diampunkan
12 jam lalu · Politik
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
October 22, 2026 · Politik
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
October 22, 2026 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok