Penasihat DAP, Lim Guan Eng.
Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh dijangka mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, termasuk daripada blok pembangkang.
Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata keyakinan itu berdasarkan sokongan kukuh di Dewan Rakyat serta kesedaran rentas parti had tempoh jawatan penting untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
Menurutnya, kerajaan kini memiliki sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, malah sokongan pembangkang juga dilihat tidak mustahil.
“Kita sudah ada majoriti dua pertiga di Parlimen dan saya percaya pembangkang juga akan menyokong kerana langkah ini jelas membawa kebaikan kepada sistem demokrasi negara,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan membentangkan RUU tersebut sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi, yang menjadi fokus utama persidangan Parlimen tahun ini.
Beliau menegaskan usaha itu adalah langkah penting untuk memperkukuh tadbir urus dan memastikan kuasa tidak tertumpu terlalu lama pada satu individu.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menyifatkan langkah itu sebagai menepati janji manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Katanya, pelaksanaan reformasi seperti ini menunjukkan kerajaan berada di landasan betul untuk menunaikan komitmen kepada rakyat.
“Janji kepada rakyat bukan sekadar slogan. Bila ia dilaksanakan satu demi satu, itu bukti kesungguhan. Saya menghargai usaha Perdana Menteri untuk menjayakannya,” katanya sambil menambah reformasi lain juga dijangka menyusul secara berperingkat.
Sebelum ini, Guan Eng pernah mengemukakan beberapa cadangan kepada Perdana Menteri agar janji manifesto PH disegerakan, termasuk isu berkaitan reformasi institusi dan hak negeri Sabah serta Sarawak.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat, amanah pengundi perlu dijunjung tanpa kompromi.
Anwar: Rasuah sudah jadi masalah sistemik, tindakan tegas perlu diteruskan
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS, pelabur beralih kepada aset selamat
AKPS catat rampasan RM322 juta dalam tempoh 10 bulan
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib