Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menggesa pemimpin sayap pemuda dalam parti politik agar lebih terbuka meraikan perbezaan pandangan serta bersedia menerima kritikan sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.
Beliau berkata, pengalaman dirinya dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang pernah menerajui Pemuda UMNO membuktikan golongan muda sering tampil dengan idealisme dan pendekatan berbeza, namun ia perlu diurus secara matang.
“Pemuda memang ada idealisme yang berbeza. Tapi bila ada pandangan atau komen yang tidak sehaluan, kita mesti terima itu sebagai perbezaan pendapat.
“Kita kerap mengkritik orang lain, jadi bila orang kritik kita, kita juga kena terima,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bersama warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Puchong.
Menurut Ahmad Zahid, sikap melabel pengkritik sebagai tidak demokratik hanya kerana tidak bersetuju adalah tidak wajar dan bercanggah dengan semangat politik sihat.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas laporan media mengenai Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang memberi bayangan kemungkinan untuk berundur daripada jawatan susulan perbezaan pendapat dalam parti.
Ahmad Zahid menegaskan mana-mana pemimpin pemuda tidak seharusnya mengambil jalan singkat atau melakukan tindakan drastik hanya kerana berdepan ketidaksetujuan.
“Kalau orang tak setuju dengan kita, jangan terus cari jalan singkat. Ini perjuangan politik. Dalam politik, bukan semua orang akan setuju dengan kita. Bila tak setuju, tangani dengan penjelasan, bukan dengan tindakan lain,” katanya.
Beliau menambah, kenyataannya itu bersifat umum dan bukan ditujukan kepada mana-mana individu secara khusus.
“Setiap pemimpin pemuda mesti ada idealisme. Sama ada saranan itu diterima atau tidak, idealisme tetap perlu diperjuangkan. Yang penting, ada cara untuk kita menyantuni dan mendepani perbezaan,” katanya lagi.
Ditanya sama ada UMNO terbuka untuk menerima pengunduran Dr Akmal, Ahmad Zahid berkata perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
Anwar ingatkan jentera PH jangan sombong hadapi pengundi Johor
SPR jual 553 borang calon menjelang hari penamaan PRN Johor
SPR keluar peringatan menjelang penamaan calon PRN Johor
Sokongan terhadap Anwar kekal tertinggi: Tinjauan Merdeka Center
Selepas Puad keluar UMNO, bekas ADUN Layang-Layang pula umum sertai Bersatu
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar