1Malaysia Develoment Berhad (1MDB).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan sekitar RM5 bilion lagi dana berkaitan skandal 1MDB dapat diperoleh semula daripada baki RM12 bilion yang masih belum dipulihkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata usaha itu sedang giat dijalankan walaupun belum dapat memastikan sama ada sasaran tersebut boleh dicapai pada tahun ini.
“Keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng dan dikesan adalah sekitar RM42 bilion dan setakat ini kita telah berjaya mendapatkan semula kira-kira RM30 bilion termasuk aset,” katanya.
“Ini bermakna masih ada baki RM12 bilion, dan kita jangkakan sekitar RM5 bilion lagi boleh dipulihkan,” tambahnya lagi.
Azam berkata demikian ketika menjadi tetamu podcast Borak Hari Ini terbitan Berita Harian.
Menurutnya, dana yang disasarkan itu melibatkan beberapa individu, termasuk pengarah PetroSaudi International Ltd, Tarek Essam Ahmad Obaid, serta ahli keluarga ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.
Daripada jumlah tersebut, katanya, sekitar AS$600 juta atau kira-kira RM2.4 bilion dijangka diperoleh daripada Obaid.
Pada Oktober lalu, mahkamah membenarkan pembekuan 2.5 juta saham Palantir Technologies Inc yang didaftarkan atas nama Obaid, selepas siasatan mendapati beliau menerima dan menggunakan dana yang dikaitkan dengan penyelewengan 1MDB.
Mengulas lanjut, Azam berkata akaun milik keluarga Low akan diserahkan kepada kerajaan dalam masa terdekat hasil rundingan dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Beliau turut memuji kerjasama antarabangsa dalam proses tersebut.
“Negara yang sebelum ini terkenal sukar bekerjasama seperti Switzerland pun sudah buka pintu,” katanya.
Beliau menegaskan proses pemulihan aset bukan mudah kerana melibatkan rangkaian transaksi yang kompleks dan penggunaan akaun proksi.
“Bukan setakat pergi ke rumah orang dan rampas wang. Wang itu disembunyikan melalui pelbagai akaun dan lapisan,” katanya.
Azam menyifatkan kadar pemulihan sekitar 70 peratus sebagai pencapaian yang baik, sambil menegaskan komitmen SPRM untuk menyelesaikan isu ini tanpa berlengah.
“Saya mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
367,537 kandungan scam, akaun palsu dan deepfake dipadam
Ancaman siber jadi fokus Dasar Keselamatan Negara baharu: PMX
NEXSEC2026 himpun 1,500 peserta, perkasa bakat keselamatan siber
Malaysia terus runding AS, mahu kekalkan tarif maksimum 19%: Johari
Dakwa dinafikan hak membela diri, Inspektor Sheila saman Ayob Khan dan PDRM
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib