Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar di seluruh negara, dengan perhatian khusus diberikan kepada murid Tahun 1 yang memulakan sesi persekolahan baharu 2026.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar menyifatkan hari pertama persekolahan sebagai langkah awal yang penting dalam membina cita-cita dan masa depan anak-anak.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada ibu bapa agar terus memainkan peranan aktif dalam perjalanan pendidikan anak masing-masing.
“Selamat kembali ke sekolah buat anak-anak, khususnya murid Tahun 1 yang memulakan langkah pertama ke alam persekolahan bersama cita-cita dan harapan,” katanya.
Menurut beliau, sokongan moral dan teladan yang baik daripada ibu bapa amat penting bagi memastikan anak-anak membesar dengan nilai murni dan jati diri yang kukuh.
“Buat ibu bapa, iringlah perjalanan anak-anak dengan doa dan teladan yang baik. Semoga setiap ilmu dan nilai yang dipelajari membentuk mereka menjadi insan berakhlak, berilmu dan menyumbang kepada masa depan negara. Insya-Allah,” ujar beliau lagi.
Untuk rekod, sesi akademik bagi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan kini kembali bermula pada bulan Januari selepas beberapa tahun mengalami perubahan susulan pandemik Covid-19 sejak 2022.
Peralihan ini menandakan usaha berterusan kerajaan untuk menstabilkan semula sistem pendidikan negara.
Bagi sesi persekolahan kali ini, sekolah dalam Kumpulan B melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memulakan sesi hari ini.
Sementara itu, sekolah dalam Kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu telah memulakan sesi mereka semalam.
Pembukaan sekolah ini disambut dengan harapan baharu oleh pelajar, ibu bapa dan warga pendidik, selari dengan aspirasi untuk melahirkan generasi masa depan yang lebih progresif dan berdaya saing.
Sasar 5,010 peserta sertai latihan AI di NADI seluruh negara: Fahmi
Portal rasmi KKM diserang penggodam
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
‘Kesejahteraan Dinikmati’ jadi tema sambutan Hari Kebangsaan: Fahmi
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar