Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Jabatan Peguam Negara mengesahkan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap kes Yayasan Akalbudi melibatkan Ahmad Zahid Hamidi bermakna beliau kini bebas sepenuhnya dan tidak boleh didakwa lagi berhubung kes berkenaan.
Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap hasil siasatan dan penilaian pendakwaan berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
“Beliau bebas secara muktamad dan mutlak. Jadi, tidak boleh didakwa lagi. Keputusan ini dibuat menggunakan kuasa di bawah undang-undang selepas meneliti enam representasi yang dikemukakan,” katanya kepada media selepas Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di MITEC hari ini.
Menurut beliau, keputusan tersebut bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya bersandarkan fakta undang-undang dan keadaan kes yang telah berubah sejak pertuduhan difailkan.
Pada 8 Januari lalu, AGC memutuskan NFA terhadap Presiden UMNO itu membabitkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 melepaskan dan membebaskan Ahmad Zahid tanpa dibebaskan (DNAA).
Mengulas lanjut, Mohd Dusuki berkata, walaupun sebelum ini mahkamah memutuskan wujud prima facie, pihaknya telah menjalankan penelitian lanjut terhadap siasatan dan keterangan baharu yang muncul kemudian.
“Terdapat pelbagai aliran kewangan dan isu utama yang dikenal pasti yang akhirnya melemahkan kes pendakwaan. Fakta-fakta baharu ini menjadikan kes tersebut tidak lagi sesuai untuk diteruskan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pada peringkat awal, siasatan mempunyai beberapa kekurangan yang hanya dapat dikenal pasti selepas penelitian lanjut dibuat.
“Dalam sistem kehakiman, adalah perkara biasa sesuatu kes dinilai semula di peringkat lebih tinggi berdasarkan keseluruhan fakta. Jadi, dakwaan bahawa keputusan ini dibuat secara suka-suka adalah tidak tepat,” katanya sambil menegaskan keputusan tersebut selari dengan undang-undang dan realiti kes yang kini dianggap lemah.
Isu ini turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pembangkang, namun AGC menegaskan pendirian bahawa keputusan dibuat secara profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh politik.
Tiada perubahan kepimpinan Negeri Sembilan, Aminuddin kekal MB: PMX
Konsert Air di Melaka tanpa DJ, Akmal gesa program di Bukit Bintang dihentikan
Puad bidas DAP takut bubar DUN Negeri Sembilan
Rundingan jadi kunci redakan isu BN-PH di Negeri Sembilan: Zahid
Sayap pemuda DAP desak pecat Tok Mat, dakwa jejaskan kestabilan kerajaan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan