Sheikh Umar Bagharib Ali.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi disifatkan lebih wajar meletakkan jawatan berbanding Anthony Loke susulan kemelut politik terbaru berhubung isu pengampunan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kedudukan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan anggota Kabinet menjadikan tindakan beliau mengkritik dasar kerajaan sesuatu yang perlu diberi perhatian.
Menurutnya, Zahid turut didakwa telah memalukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru ini.
“Bagi saya, sepatutnya Zahid Hamidi yang letak jawatan. Beliau memalukan Perdana Menteri di Perhimpunan Agung UMNO, sedangkan beliau sendiri merupakan timbalannya,” katanya dalam kenyataan.
Sheikh Umar berkata, Zahid juga dilihat mempertikaikan beberapa dasar kerajaan termasuk BUDI95, sedangkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajui beliau merupakan sebahagian daripada Kabinet yang terlibat dalam keputusan kerajaan.
“Beliau mempertikai polisi kerajaan. Pertikai BUDI95. Sedangkan beliau dalam Kabinet yang sama. Beliau buat keputusan sama-sama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan keputusan DAP berhubung peletakan jawatan Loke sebagai Menteri Pengangkutan dibuat secara kolektif selepas perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
Katanya, meskipun terdapat pandangan berbeza dalam kalangan anggota CEC, keputusan akhirnya dicapai secara muafakat.
“Sebenarnya ramai yang tidak setuju sewaktu mesyuarat CEC. Tetapi setelah berbincang, kami muafakat dan mengambil keputusan secara kolektif,” katanya.
Loke, yang juga Setiausaha Agung DAP, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas parti mengadakan mesyuarat tergempar susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Sheikh Umar turut berkata, Anwar mempunyai kuasa untuk menggugurkan Zahid daripada Kabinet sekiranya Perdana Menteri berpandangan langkah itu wajar.
“Bukan Anthony Loke Siew Fook. Atau Anwar lucutkan Zahid. Ganti dengan pemimpin UMNO lain. Itu kuasa Anwar,” katanya.
Bersatu tunggu keputusan RoS berhubung aduan PN: Muhyiddin
Van polis ditempatkan di kediaman Najib mulai esok
Najib kekal di Kajang selagi denda RM50 juta belum dibayar
Pengampunan Najib: Loke pilih untuk berundur dari Kabinet
Bila UMNO nak lancar tabung ganti kerugian 1MDB disakau Najib? soal Pemuda Amanah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum