Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Bantuan bulanan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi kategori bujang mula dikreditkan hari ini, sekali gus memberi kelegaan kepada jutaan individu yang berdepan kos sara hidup semakin mencabar.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kira-kira 3.1 juta penerima bujang di seluruh negara layak menerima bantuan ini, dengan jumlah sehingga RM100 sebulan bergantung kepada kelayakan masing-masing.
Menurut kementerian itu, bantuan berkenaan disalurkan secara bulanan dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya serta kedai rakan niaga terpilih.
“Bantuan ini bertujuan memastikan golongan bujang berpendapatan rendah terus mendapat akses kepada keperluan asas harian,” kata kementerian itu menerusi kenyataan di Facebook.
Di bawah pelaksanaan SARA, individu bujang berusia antara 21 hingga 59 tahun dengan pendapatan bulanan RM2,500 dan ke bawah layak menerima RM50 sebulan.
Namun, bagi mereka yang berada dalam julat pendapatan sama dan tersenarai dalam pangkalan data eKasih, bantuan lebih tinggi iaitu RM100 sebulan akan dikreditkan terus ke dalam MyKad penerima.
Berbeza dengan bantuan tunai sebelum ini, SARA tidak dimasukkan ke akaun bank, sebaliknya, ia disalurkan melalui MyKad dan hanya boleh digunakan untuk pembelian barangan asas seperti makanan dan keperluan dapur di premis yang mengambil bahagian.
Penerima digalakkan menyemak baki bantuan bagi memastikan jumlah yang diterima dimanfaatkan sepenuhnya.
Semakan baki boleh dibuat dengan mudah ketika berada di kaunter bayaran.
Penerima hanya perlu memaklumkan kepada juruwang bahawa mereka ingin menyemak baki SARA sebelum transaksi, dan maklumat baki akan dipaparkan pada skrin atau resit pembelian.
Selain itu, status kelayakan dan maklumat bayaran juga boleh disemak melalui portal rasmi Sumbangan Tunai Rahmah di laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri atau menerusi platform MyKasih.
Bagi yang memerlukan penjelasan lanjut, talian bantuan STR dan cawangan LHDN turut disediakan.
Pelaksanaan SARA adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial, khususnya untuk golongan bujang berpendapatan rendah yang semakin terkesan dengan tekanan ekonomi semasa.
367,537 kandungan scam, akaun palsu dan deepfake dipadam
SPRM nafi pilih kasih, siasatan projek jalan KKDW masih berjalan
Ancaman siber jadi fokus Dasar Keselamatan Negara baharu: PMX
NEXSEC2026 himpun 1,500 peserta, perkasa bakat keselamatan siber
Malaysia terus runding AS, mahu kekalkan tarif maksimum 19%: Johari
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib