Rancangan Pendidikan Negara.
Kerajaan akan melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 pada Selasa ini, satu pelan jangka panjang yang menjadi asas baharu pembangunan pendidikan Malaysia daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
Pelancaran rasmi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan diterajui bersama oleh Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut kenyataan bersama KPM dan KPT, RPN 2026-2035 mencerminkan komitmen kerajaan MADANI untuk membina sistem pendidikan yang lebih bermutu, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
“Pelan ini dirangka bagi memastikan pembangunan modal insan negara bergerak secara bersepadu dan berterusan, seiring perubahan landskap dunia,” kata kenyataan itu.
Bagi sektor pendidikan tinggi, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 akan menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
Dokumen hala tuju 10 tahun itu dibangunkan melalui libat urus berskala besar melibatkan 181 pakar tempatan dan lebih 8,000 pihak berkepentingan daripada institusi pendidikan, industri dan masyarakat.
“RPTM 2026-2035 bersifat dinamik, fleksibel serta responsif terhadap perubahan global dan kemajuan teknologi,” menurut kenyataan itu, sambil menambah integrasi teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi pemangkin utama dalam kurikulum dan penyelidikan.
Pada masa sama, pelan berkenaan memberi penekanan kepada pembangunan bakat berteraskan nilai kemanusiaan, daya tahan serta tujuan yang jelas, di samping memperluas akses pendidikan tinggi dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab pendidikan dan penyelidikan serantau.
Sementara itu, KPM akan menerajui Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 sebagai rujukan utama pembangunan pendidikan sekolah.
Pelan ini digerakkan melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi, selari dengan visi “Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera”.
Menurut KPM dan KPT, pelaksanaan RPTM dan RPM secara bersepadu di bawah RPN 2026-2035 menandakan satu anjakan penting dasar pendidikan negara.
“Keselarasan ini penting untuk memastikan kesinambungan pembangunan insan, bermula dari bilik darjah hingga ke menara gading,” kata kenyataan itu.
RPN 2026-2035 hadir ketika negara berdepan cabaran ekonomi global, perubahan teknologi pesat dan keperluan melahirkan generasi masa depan yang bukan sahaja berkemahiran, tetapi juga beretika dan berfikiran global.
Kesan krisis bekalan global dijangka dirasai sebulan dua lagi: Tengku Zafrul
Global Sumud Flotilla: Nasib 10 aktivis Malaysia masih belum diketahui
Ebit Lew diperintah bela diri kes gangguan seksual
Kapal bantuan Gaza dipintas, Malaysia kecam tindakan tentera Zionis: Fahmi
Pengesahan identiti pengguna: Penyedia platform media sosial beri kerjasama positif
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan