Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa dilaksanakan secara menyeluruh, konsisten dan bukan sekadar slogan, selaras dengan tuntutan rakyat yang mahukan pentadbiran berintegriti dan telus.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, titah Baginda yang disampaikan pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 hari ini membawa mesej jelas tiada kompromi terhadap amalan rasuah, sama ada dalam kalangan penjawat awam mahupun wakil rakyat.
“Titah Tuanku adalah peringatan yang sangat tegas kepada semua pihak. Kita yang dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mesti menjadi contoh dan berada di barisan hadapan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dipetik laporan media.
Menurut Fahmi, walaupun titah tersebut disampaikan dalam tempoh sekitar 15 hingga 18 minit, kandungannya padat dan sarat dengan pesanan penting, termasuk keperluan memperkukuh tatakelola serta mengarahkan kerajaan dan agensi penguatkuasaan mengambil tindakan tegas tanpa pilih kasih.
Titah itu hadir dalam konteks keprihatinan rakyat terhadap isu integriti, ketirisan dan ketelusan pentadbiran, ketika kerajaan Madani sedang berusaha memulihkan keyakinan awam terhadap institusi negara serta memperkukuh reformasi institusi.
Mengulas bidang tugasnya, Fahmi berkata akan menjunjung titah Agong berhubung ancaman dalam talian, termasuk penyalahgunaan teknologi seperti deepfake dan kecerdasan buatan (AI), yang kini semakin memberi kesan kepada keselamatan dan keharmonian masyarakat.
“Kerajaan komited untuk memastikan ekosistem digital kita lebih selamat, seiring dengan capaian Internet yang semakin pantas, murah dan meluas,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan juga sedang meneliti penambahbaikan dalam proses perolehan dan tatakelola, termasuk mempertimbangkan penggunaan sistem digital yang lebih telus dan terbuka.
“Kemungkinan penggunaan sistem digital yang lebih telus boleh membantu menutup ruang salah guna kuasa. Ini perlu dikaji secara mendalam supaya pelaksanaannya berkesan,” katanya.
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
Mahkamah larang pihak terlibat ulas kes Shuhaily
Dua lelaki gagal cabar keputusan kerajaan mansuh subsidi diesel
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib