Rakyat menikmati Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI).
Kerajaan Madani mula menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 bagi tahun 2026 bermula hari ini, melibatkan seramai lima juta penerima di seluruh negara, kata Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, bantuan itu akan memanfaatkan kira-kira 3.7 juta isi rumah serta 1.3 juta warga emas yang tidak mempunyai pasangan, dengan jumlah bayaran antara RM100 hingga RM500 bergantung kepada kelayakan masing-masing.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
“Penambahbaikan kepada STR, yang kini disepadukan dengan pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), memastikan golongan berkelayakan menerima bantuan yang lebih konsisten dan berkesinambungan bagi memenuhi keperluan asas,” kata Anwar.
Beliau menjelaskan, STR berfungsi sebagai bantuan tambahan yang disalurkan secara suku tahunan bagi membantu rakyat mengurus perbelanjaan pada waktu tertentu seperti musim perayaan.
Pada masa sama, SARA pula bertindak sebagai sokongan asas bulanan yang lebih stabil untuk keperluan harian, khususnya makanan dan barangan asas.
Anwar menegaskan usaha tersebut selari dengan komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menjalani kehidupan yang bermaruah, terutama ketika berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar.
“Kerajaan akan terus memastikan tiada siapa yang terpinggir. Saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima untuk meringankan beban kehidupan seharian,” katanya.
STR merupakan antara inisiatif utama bantuan tunai kerajaan yang diperkenalkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana, termasuk isi rumah B40, M40 terpilih serta warga emas.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, skim berkenaan melalui beberapa penambahbaikan dari segi jumlah bantuan, kaedah penyaluran dan penyasaran penerima agar lebih bersasar dan efektif.
Langkah penggabungan STR dengan SARA dilihat sebagai pendekatan lebih progresif dalam sistem perlindungan sosial negara, dengan fokus kepada bantuan jangka pendek dan sokongan asas berterusan, sejajar dengan aspirasi ekonomi inklusif Kerajaan Madani.
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
Wang peti besi RM325,000 lesap, pegawai bank didakwa seleweng
GST belum sesuai dilaksana, kerajaan kekal SST: MOF
Tiada lesen judi baharu diluluskan: MOF
Isu cip AI: Tiga syarikat Malaysia dikenakan sekatan AS
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan