Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kerajaan bersetuju untuk menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar bagi membolehkan penambahbaikan dilakukan sebelum dibentangkan semula di Parlimen.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, jemaah menteri memahami keperluan untuk menangani isu perumahan di kawasan bandar, terutamanya berkaitan golongan miskin bandar, secara tuntas dan adil.
“Jemaah Menteri telah bersetuju secara dasar bahawa wujud keperluan untuk menggubal RUU yang membolehkan isu perumahan di bandar diatasi dengan lebih berkesan,” katanya.
Sebahagian daripada keputusan ini melibatkan maklum balas yang diterima daripada rakan-rakan UMNO dan ahli-ahli jemaah menteri lain.
“Sudah pasti kita inginkan RUU Pembaharuan Semula Bandar ini diberi satu bentuk untuk menerima semua pandangan ini dan dimasukkan ke dalam draf Rang Undang-Undang atau Blue Bill itu sendiri,” katanya lagi,
Beliau menambah beberapa perkara akan diteliti untuk penambahbaikan, termasuk cadangan daripada UMNO yang hampir kesemuanya akan dimasukkan ke dalam draf baru.
“Hasratnya adalah untuk memurnikan proses itu dan menambah baik RUU setelah menerima pelbagai maklum balas, termasuk daripada ahli-ahli Dewan Rakyat,” ujarnya.
RUU asal diperkenalkan untuk menangani cabaran perumahan, pembangunan infrastruktur, dan kesejahteraan masyarakat bandar, namun ia mendapat pelbagai pandangan mengenai keberkesanan dan impaknya terhadap golongan berpendapatan rendah.
Dengan penarikan balik ini, kerajaan mahu memastikan undang-undang yang bakal dilaksanakan benar-benar inklusif dan adil.
Proses penyediaan draf baru akan dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara, dan jemaah menteri dijangka diberikan taklimat sebelum draf itu dibincangkan secara rasmi.
“Sebelum ia ke Jabatan Peguam Negara, draf baru pertama mesti dibawa juga kepada jemaah menteri untuk dibincangkan,” katanya.
Keputusan terbaru ini dilihat sebagai langkah kerajaan untuk mendengar pelbagai pandangan, memperkukuh proses perundangan, dan memastikan RUU yang dibentangkan nanti lebih mantap serta relevan dengan keperluan rakyat bandar.
Ops Lusuh tumpaskan sindiket simpan peralatan telekomunikasi curi di Sarawak
Pemilik kenderaan diesel boleh mohon tambahan 100 liter bila-bila masa
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
Mahkamah sekat Papagomo sebar kandungan didakwa memudaratkan
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar