Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua buah hotel dan membekukan 21 akaun bank bernilai keseluruhan kira-kira RM2 juta dalam siasatan kes rasuah melibatkan perolehan projek Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Tindakan itu dilakukan menerusi Op Layar selepas SPRM mengesan dakwaan rasuah membabitkan seorang pegawai kanan TLDM yang dipercayai menyalahgunakan kedudukan dengan mengesyorkan serta melantik syarikat kroni untuk mendapatkan projek sebut harga di tempat beliau bertugas.
Menurut sumber, 21 akaun bank yang dibekukan melibatkan tujuh akaun milik syarikat dan 14 akaun individu dengan jumlah anggaran RM700,000.
Selain itu, dua buah hotel yang disita dipercayai dimiliki oleh pegawai kanan berkenaan dan dianggarkan bernilai sekitar RM2 juta.
“Pembekuan akaun dan penyitaan aset ini adalah sebahagian daripada usaha SPRM mengesan aliran wang serta hasil yang disyaki diperoleh melalui aktiviti rasuah,” kata sumber itu.
Siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM turut melibatkan semakan ke atas beberapa syarikat dengan Jabatan Akauntan Negara bagi mengenal pasti sama ada syarikat terlibat pernah dianugerahkan tender atau sebut harga kerajaan.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Saiful Ezral Arifin, ketika dihubungi mengesahkan perkembangan siasatan tersebut.
Beliau berkata, siasatan sedang dipergiatkan dan setakat ini SPRM telah merakam percakapan tujuh individu bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes ini masih dalam peringkat siasatan dan SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.
Beberapa hari lalu, SPRM menahan seorang pengarah syarikat dan pegawai kanan TLDM kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah berkaitan pelantikan syarikat kroni bagi kerja sebut harga.
Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 29 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib