Selangor tangguh projek ternak babi di Bukit Tagar: Amiruddin

January 26, 2026 · Isu semasa

Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk menangguhkan sementara projek penternakan babi berpusat di Bukit Tagar susulan bantahan dan kebimbangan masyarakat setempat, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Keputusan itu dibuat bagi meredakan keresahan awam sementara kerajaan negeri menilai semula cadangan lokasi dan pendekatan yang lebih sesuai.

Menurut Amirudin, isu berkenaan menjadi semakin hangat selepas timbul salah faham dan persepsi bahawa projek tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Perdana Menteri menghubungi saya ketika saya berada di luar negara. Isu ini sudah melangkaui fakta sebenar, jadi kita ambil langkah untuk tangguh dan batalkan sementara sehingga ada pilihan tapak atau kaedah lain yang lebih sesuai,” katanya dipetik laporan media.

Beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah mengarahkan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, untuk mencari kawasan alternatif bagi projek itu.

Arahan tersebut dibuat selepas melihat bantahan keras masyarakat serta mengambil kira pandangan Perdana Menteri yang mencadangkan supaya projek itu ditangguhkan atau dipindahkan.

Amirudin menjelaskan bahawa projek berkenaan sebenarnya masih di peringkat awal dan belum mendapat kelulusan rasmi.

Namun, tanggapan ia akan dilaksanakan segera telah mencetuskan kekeliruan.

“Ini isu yang jadi pramatang. Proses libat urus dengan komuniti, penilaian impak sosial dan alam sekitar sepatutnya dibuat terlebih dahulu. Kita akui mungkin ada pengumuman yang mendahului proses,” katanya.

Beliau turut menepis dakwaan sinis projek itu akan dibangunkan secara besar-besaran atau digelar sebagai “hotel babi”.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah merancang projek mega.

“Bukan besar-besaran. Anggaran hanya sekitar 20 hingga 30 peratus keperluan. Dakwaan projek mega itu memang berlebihan,” katanya.

Cadangan memindahkan penternakan babi ke Bukit Tagar dikaitkan dengan usaha kerajaan negeri untuk menyusun semula ladang-ladang sedia ada yang berselerak, bagi menangani isu kebersihan dan pencemaran alam sekitar.

Namun, cadangan itu mencetuskan kebimbangan penduduk setempat serta mendapat perhatian Istana Selangor, apabila Sultan Selangor menzahirkan rasa tidak bersetuju dengan perancangan tersebut.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri turut mengesyorkan agar projek berkenaan dibatalkan terlebih dahulu atau dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai demi keharmonian masyarakat.

Berita berkaitan
Onn Hafiz tak perlu jadi ‘drama king’, Sheikh Umar cabar dedah pihak sekat masuk FELDA
June 24, 2026· Politik
Bukankah FELDA diurus Pengerusi dan Menteri UMNO? DAPSY persoal dakwaan MB Johor
June 24, 2026· Politik
Tiada arahan sekat Onn Hafiz masuk ke FELDA: Zahid
June 24, 2026· Politik
PRN Johor: Debat Maszlee dan Onn Hafiz, biar pengundi nilai siapa layak jadi MB?
June 23, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
Isa Samad kekal dipenjara, mahkamah tolak permohonan semakan
17 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan masih perhalusi cadangan tangani isu Rohingya
17 jam lalu · Isu semasa
‘Kesejahteraan Dinikmati’ jadi tema sambutan Hari Kebangsaan: Fahmi
17 jam lalu · Isu semasa
226 pegawai SPRM dikenakan tindakan tatatertib sejak 2021
22 jam lalu · Isu semasa
Malaysia terus kukuh antara negara paling aman dunia
June 25, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
June 15, 2026
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar
June 15, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok