Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendakwa beliau menjadi sasaran kecaman susulan pendiriannya mempertahankan prinsip perjuangan parti, khususnya berkaitan isu agama, bangsa dan tanah air.
Menurut Akmal, serangan terhadapnya dipercayai memuncak selepas keputusan kerajaan menarik balik pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) di Parlimen, yang sebelum ini menerima bantahan daripada beberapa pihak termasuk dalam kalangan ahli Parlimen Barisan Nasional.
Beliau mendakwa terdapat individu tertentu yang “kepanasan” apabila pendirian tegas itu memberi kesan kepada kedudukan politik masing-masing.
Dalam satu hantaran di Facebook, Akmal menyelar sikap mereka yang menurutnya terlalu mengejar kuasa tetapi tidak berani membuat pengorbanan.
“Individu yang gila kuasa tidak akan berani melepaskan jawatan,” katanya.
Beliau turut menyindir seorang menteri dengan berkata, “Lebih hina orang yang gila kuasa dan tiada maruah bila sekadar menumpang dalam kerajaan Melaka, tetapi takut lepaskan jawatan kerana takut hilang kuasa dan gaji besar.”
Akmal menegaskan kecaman dan label yang dilemparkan kepadanya tidak akan mengubah pendiriannya.
“Kamu labellah apa sekalipun, yang penting aku buat demi mempertahankan agama, bangsa dan tanah air aku,” katanya lagi.
Sebelum ini, Akmal secara terbuka menggesa ahli-ahli Parlimen BN supaya menolak RUU URA kerana mendakwa ia berpotensi menjejaskan hak pemilik asal dan golongan berpendapatan rendah di bandar, jika tidak diperhalusi dengan teliti.
RUU URA bagaimanapun telah ditarik balik daripada pembentangan di Dewan Rakyat.
Jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil, memaklumkan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada penambahbaikan menyeluruh sebelum ia dibentangkan semula.
Menurut Fahmi, Kabinet secara prinsip bersetuju bahawa RUU berkenaan perlu diperhalusi supaya matlamat menangani isu perumahan bandar, khususnya melibatkan golongan miskin bandar, dapat dilaksanakan secara adil dan berkesan.
Isu RUU URA kini menjadi antara topik hangat perbahasan politik, mencerminkan pertembungan antara agenda pembangunan bandar dan keperluan melindungi kepentingan rakyat.
Anwar ingatkan jentera PH jangan sombong hadapi pengundi Johor
SPR jual 553 borang calon menjelang hari penamaan PRN Johor
PAS kempen calon sendiri sahaja, tidak bantu Bersatu di Johor: Hadi
SPR keluar peringatan menjelang penamaan calon PRN Johor
Sokongan terhadap Anwar kekal tertinggi: Tinjauan Merdeka Center
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar