Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyatakan sokongan penuh terhadap pendekatan tegas Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menegaskan kerajaan tidak lagi boleh berkompromi dengan kelemahan penguatkuasaan dan kegagalan tadbir urus yang berlarutan tanpa tindakan serius.
Pengerusi EAIC, Ismail Bakar berkata pendirian itu selari dengan peranan dan mandat suruhanjaya berkenaan dalam memantau serta menyiasat salah laku melibatkan agensi penguatkuasaan, termasuk penyalahgunaan kuasa dan kelemahan sistem tadbir urus perkhidmatan awam.
“EAIC memandang serius peringatan Perdana Menteri kerana isu ini sudah lama memberi kesan kepada keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, EAIC secara konsisten mengemukakan syor hukuman tatatertib serta cadangan penambahbaikan sistem dan prosedur dalaman, namun pematuhan terhadap syor berkenaan masih perlu diperkukuh.
Ismail menegaskan semua cadangan yang dikemukakan EAIC wajar diberi perhatian dan dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak berkuasa berkaitan.
“EAIC juga akan merujuk semula kes tatatertib yang tidak atau belum diambil tindakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib serta ketua perkhidmatan untuk tindakan segera,” katanya.
Beliau berkata tindakan tegas dan komitmen kepimpinan tertinggi agensi penguatkuasaan adalah kunci utama untuk memperkukuh integriti serta memulihkan kepercayaan rakyat.
Menurutnya, kegiatan seperti penyeludupan, rasuah dan aktiviti gelap bukan sahaja mencalar imej agensi, malah merupakan pengkhianatan terhadap kepentingan negara.
“Perkara ini tidak boleh diterima dan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang normal,” katanya.
Kenyataan EAIC itu hadir susulan peringatan keras Perdana Menteri semalam kerajaan tidak lagi akan bertolak ansur terhadap kelemahan penguatkuasaan yang dibiarkan berlarutan.
Anwar turut memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi pasukan penguat kuasa untuk menyatakan kesediaan mereka memikul amanah atau memilih untuk beralih ke jawatan lain.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk melakukan pembaharuan institusi dan memastikan agenda integriti benar-benar diterjemahkan, bukan sekadar slogan.
Pelaburan palsu punca kerugian tertinggi penipuan dalam talian
Rayuan ditolak, perbicaraan kes rasuah Guan Eng diteruskan
Pengesahan umur bertujuan lindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian: Fahmi
Pelajar IPTS warga asing ditemui maut di kondo, rakan senegara ditahan
Pemandu mabuk: Kerajaan teliti pampasan khas untuk mangsa kemalangan jalan raya
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar