Tuan Ibrahim Tuan Man.
PAS mengakui tindakan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang memohon untuk menyertai semula parti itu memberi kesan terhadap kestabilan serta imej parti sebagai kerajaan negeri.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata insiden tersebut menjadi pengajaran penting untuk memperkukuh parti pada masa hadapan dan kesal terhadap apa yang berlaku, namun menegaskan fokus utama ketika ini adalah mengambil iktibar daripada situasi berkenaan.
“Tindakan tiga ADUN itu menjejaskan kestabilan dan kewibawaan PAS sebagai parti pemerintah di Perlis. Walaupun kita berasa kecewa, pengajaran daripada insiden ini lebih penting untuk masa depan parti,” katanya.
Menurut beliau, ketiga-tiga bekas ADUN itu telah mengemukakan permohonan untuk kembali menyertai PAS dan permohonan tersebut akan diproses mengikut prosedur standard parti.
Tuan Ibrahim menegaskan sebarang keputusan tidak dibuat secara terburu-buru, sebaliknya melalui penelitian rapi serta berpandukan prinsip parti dan sejarah pentadbiran Islam.
Beliau turut menegaskan PAS kekal sebagai parti terbuka kepada sesiapa yang ingin bersama memperjuangkan nilai Islam dalam pentadbiran negara.
“PAS tidak pernah menghalang mana-mana individu untuk menjadi ahli, sama ada pemohon baharu atau mereka yang pernah digugurkan keahlian,” katanya.
Tambahnya, keyakinan rakyat terhadap PAS masih kukuh apabila parti menerima lebih 2,000 permohonan keahlian baharu setiap bulan termasuk daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS.
“Dengan disiplin dan perpaduan, kami yakin PAS akan terus teguh sebagai organisasi yang berintegriti,” katanya lagi.
Krisis politik di Perlis sebelum ini menyaksikan beberapa pemimpin parti dikenakan tindakan disiplin susulan konflik dalaman berkaitan kepimpinan negeri.
Media sebelum ini melaporkan Majlis Syura Ulama PAS menyerahkan keputusan rayuan tiga bekas ADUN kepada kepimpinan pusat parti.
Mereka ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Perangi rasuah bukan mudah, berdepan tentangan pelbagai pihak: PMX
Mat Sabu hanya suarakan pandangan, bukan sindir sesiapa: Anwar
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
Tun Faisal dakwa Hamzah punca keretakan PN, PAS campur urusan dalaman Bersatu
Parti Rafizi terlalu taksub kritik kerajaan, tiada formula bantu rakyat: AMK
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar