Sekatan aplikasi dan kandungan dalam talian yang berunsur songsang serta lucah bagi melindungi masyarakat.
Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu dijangka memperketat kawal selia platform digital di Malaysia, khususnya dalam menangani kandungan berbahaya serta memperkukuh perlindungan keselamatan kanak-kanak di ruang siber.
Akta yang diluluskan Parlimen pada Disember 2024 dan diwartakan pada Mei 2025 itu melengkapi undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Berbeza dengan pendekatan lama yang menumpukan kepada tindakan terhadap setiap kandungan secara individu, ONSA memberi fokus kepada pengurusan risiko sistemik oleh platform digital.
Langkah itu dibuat susulan peningkatan kes bahaya dalam talian.
Polis merekodkan kerugian RM2.7 bilion akibat penipuan dalam talian antara Januari hingga November 2025.
Pada Oktober tahun lalu, pihak berkuasa turut menumpaskan rangkaian jenayah berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak dengan penahanan 31 individu dan rampasan lebih 880,000 fail digital.
Sejak 2022, sebanyak 38,470 kandungan buli siber dan gangguan dalam talian telah dipadamkan.
Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan sekitar 92 peratus daripada lebih 697,000 hantaran berbahaya berjaya dihapuskan antara Januari 2024 hingga November 2025, namun lebih 58,000 kandungan masih boleh diakses.
ONSA terpakai kepada platform tempatan dan antarabangsa yang beroperasi atau menyasarkan pengguna di Malaysia.
Ia meliputi kandungan seperti eksploitasi kanak-kanak, penipuan kewangan, pornografi, gangguan dalam talian, keganasan ekstrem, kandungan yang menggalakkan mencederakan diri, unsur kebencian serta kandungan berkaitan dadah berbahaya.
Di bawah akta ini, platform diwajibkan menyediakan pelan keselamatan dalam talian, mekanisme pelaporan pengguna serta langkah perlindungan umur.
Namun, akta ini tidak melibatkan pemesejan peribadi satu ke satu dan tidak mewujudkan kesalahan baharu terhadap ekspresi politik yang sah.
Malaysia sebelum ini bergantung kepada gabungan penguatkuasaan undang-undang sedia ada dan dasar dalaman platform teknologi.
Pengenalan ONSA menandakan peralihan ke arah sistem kawal selia lebih menyeluruh selaras dengan trend global dalam pengurusan keselamatan digital.
Keberkesanan akta ini bergantung kepada tahap pematuhan platform serta pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa. – Bernama
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
Wang peti besi RM325,000 lesap, pegawai bank didakwa seleweng
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib