Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim menjelaskan dakwaan Malaysia menyerahkan kawasan seluas 5,207 hektar kepada Indonesia adalah tidak benar kerana kawasan berkenaan sebelum ini bukan milik mana-mana negara, sebaliknya berada dalam zon rundingan sempadan yang belum dimuktamadkan.
Semasa sesi penerangan khas di Dewan Rakyat, Perdana Menteri menerangkan kawasan Outstanding Boundary Problem (OBP) itu sejak dahulu tertakluk kepada proses rundingan antara kedua-dua negara.
“Kawasan ini tidak boleh dianggap milik mana-mana negara kerana ia masih dalam proses penentuan sempadan. Dakwaan Malaysia menyerahkan tanah sebagai pampasan adalah tidak benar dan satu penipuan,” katanya.
Menurut beliau, penentuan sempadan Malaysia–Indonesia tidak pernah dibuat berdasarkan prinsip pampasan, timbal balik atau untung rugi, sebaliknya berpandukan konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang telah dimeterai sejak era penjajahan.
Malaysia dan Indonesia masih terikat dengan perjanjian lama termasuk perjanjian persempadanan sejak 1915 yang menjadi rujukan utama sehingga hari ini.
Isu ini timbul selepas laporan media mendakwa Malaysia menyerahkan tanah tersebut sebagai pertukaran kepada tiga kampung di Nunukan berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan.
Namun kerajaan menegaskan rundingan sempadan darat antara kedua-dua negara masih berjalan dan dibuat secara harmoni berasaskan undang-undang antarabangsa.
Untuk rekod, sempadan darat Malaysia–Indonesia melibatkan kira-kira 2,064 kilometer merangkumi sektor Sabah–Kalimantan Utara dan Sarawak–Kalimantan Barat.
Sebahagian jajaran telah dimuktamadkan, namun beberapa kawasan masih dalam proses rundingan teknikal yang sudah berlangsung selama beberapa dekad.
Kerajaan menegaskan semua keputusan berkaitan sempadan dibuat berdasarkan data pengukuran saintifik, rekod sejarah serta perjanjian antarabangsa yang sah.
Malah, penyelesaian beberapa kawasan pertikaian sebelum ini dimuktamadkan melalui memorandum persefahaman antara Malaysia dan Indonesia selepas rundingan teknikal yang panjang.
Anwar turut menasihatkan semua pihak supaya merujuk maklumat sah sebelum membuat sebarang dakwaan berkaitan isu sensitif melibatkan kedaulatan negara.
DAP sifatkan Festival Bukit Bintang berjaya bantu peniaga kecil: Guan Eng
Guru tadika didenda RM1,200 cubit murid hingga lebam
Cuti umum sempena Hari Wesak dan Keputeraan Agong: KESUMA
Akauntan muda dipilih Undang Sungei Ujong yang baharu
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan