Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim memberi amaran keras kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu keselamatan negara, terutama ketika Malaysia menerima kunjungan rasmi pemimpin luar negara.
Perdana Menteri berkata arahan jelas sudah diberikan kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang ancaman keselamatan.
Amaran itu dibuat susulan perhimpunan yang dirancang di ibu negara oleh Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) bersama 141 pertubuhan bukan kerajaan, yang mahu menyuarakan kebimbangan berhubung pembinaan rumah ibadat tidak berdaftar.
Perhimpunan itu dirancang berlangsung ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.
Anwar menegaskan isu sensitif berkaitan agama dan kaum tidak boleh dimanipulasi sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Nak beri pandangan dan kritikan boleh, tapi kalau kamu ganggu keselamatan negara dan cuba khianati ketika negara terima tetamu rasmi, saya akan ambil tindakan maksimum, tangkap dan humban mereka,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PKR Selangor.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak melebihi bidang kuasa undang-undang.
“Kamu bukan hakim atau ketua polis. Kalau cuba ambil alih tugas penguat kuasa, kami akan bertindak,” katanya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus pula memaklumkan perhimpunan yang dijadualkan pada jam 8 malam tidak dibenarkan atas faktor keselamatan awam serta risiko gangguan ketenteraman.
Isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sering menjadi polemik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya di kawasan bandar yang pesat membangun.
Kerajaan sebelum ini menegaskan semua rumah ibadat, termasuk masjid, surau, gereja dan kuil, perlu mematuhi peraturan perancangan tempatan.
Anwar menegaskan tidak menyokong pembinaan mana-mana rumah ibadat yang melanggar peraturan, namun mengingatkan isu itu tidak boleh dijadikan bahan provokasi sehingga menimbulkan kebencian antara kaum.
“Kalau dibangkitkan tanpa ikut saluran undang-undang, hasilnya cuma kebencian dan masalah tak selesai,” katanya.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib