Perdana Menteri Anwar Ibrahim meraikan Perdana Menteri India, Narendra Modi yang dalam rangka lawatan ke Malaysia.
Hubungan dua hala antara Malaysia dan India kini dilihat berada pada tahap paling kukuh dalam sejarah moden, didorong kerjasama ekonomi yang semakin pesat serta hubungan diplomatik yang lebih erat antara kepimpinan kedua-dua negara.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata amat menghargai lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia yang menandakan hubungan strategik semakin matang antara kedua-dua negara tersebut.
“Ini bukan sekadar retorik, tetapi telah membuahkan hasil,” katanya ketika berucap dalam satu acara komuniti India di ibu negara.
Hubungan perdagangan antara kedua-dua negara terus meningkat dengan jumlah dagangan dua hala pada 2025 mencecah kira-kira RM79.49 bilion (AS$18.59 bilion), menjadikan India rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan.
Lawatan rasmi dua hari Modi ke Malaysia pada Februari 2026 dibuat atas jemputan Anwar, sebagai susulan kepada lawatan pemimpin Malaysia ke India sebelum ini, dan dijangka mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi serta keselamatan.
Kedua-dua negara mempunyai hubungan sejarah dan budaya yang panjang sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 1957, selain disokong komuniti diaspora India yang besar di Malaysia.
Hubungan dua hala turut dipertingkatkan kepada tahap Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2024, membuka laluan kepada kerjasama lebih luas dalam sektor ekonomi dan teknologi.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengiktiraf sumbangan komuniti India dalam pembangunan negara sejak awal pembentukan Malaysia.
“Apabila negara ini dibangunkan daripada kepelbagaian masyarakat, komuniti India menjadi rakan penting dalam membina asas ekonomi yang kukuh bersama masyarakat lain,” katanya.
Beliau menambah pembinaan negara sebenar berlaku dalam kehidupan seharian rakyat pelbagai kaum, termasuk melalui pendidikan, pekerjaan dan interaksi sosial yang membentuk identiti Malaysia hari ini.
Lawatan Modi juga dilihat sebagai langkah penting menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, selain memperkukuh lagi kerjasama ekonomi dan hubungan rakyat ke rakyat antara kedua-dua negara, sekali gus menandakan era baharu dalam hubungan Malaysia–India.
Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said
MCMC saman Google RM300 juta isu kandungan palsu Papagomo
Dijanjikan untung 500 peratus, pengurus syarikat rugi RM262,200
Pemergian Pak Samad tinggalkan legasi besar, jadi inspirasi generasi muda: Fahmi
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib