Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman yang akan menamatkan perkhidmatan pada 22 Februari ini selepas hampir tiga tahun menerajui jabatan tersebut.
Fahmi menyifatkan tempoh kepimpinan Suhaimi sebagai penting dalam usaha memodenkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaras dengan perubahan landskap media semasa.
Menurut beliau, sumbangan Suhaimi membantu RTM menyesuaikan diri dengan perubahan corak tontonan masyarakat yang kini lebih tertumpu kepada platform digital dan telefon pintar.
“Saya amat berbangga dengan hasil kerja serta kreativiti yang telah beliau bawakan kepada Jabatan Penyiaran Malaysia, termasuk beberapa pencapaian yang bagi saya tidak boleh kita lupakan,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi hari ini.
Sepanjang tempoh kepimpinannya, Suhaimi memperkenalkan beberapa pembaharuan termasuk penubuhan unit Media Digital dan Interaktif (MDI) yang memberi fokus kepada penghasilan kandungan digital oleh bakat muda.
Kehadiran RTM juga diperluaskan di media sosial seperti TikTok bagi menarik penonton generasi baharu.
Selain itu, perubahan format berita termasuk rangkuman berita awal pada waktu malam turut diperkenalkan.
Fahmi berkata cabaran utama penyiaran hari ini ialah perubahan demografi penonton yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada televisyen.
“Golongan penonton kini lebih banyak melihat kandungan melalui telefon bimbit. Ia cabaran besar tetapi Suhaimi berjaya mula mengubah cara pemikiran jabatan ke arah AI, media sosial dan persaingan media baharu,” katanya.
Antara inisiatif baharu ialah penghasilan mikrodrama kurang satu minit untuk platform RTM Klik, disasarkan kepada penonton yang gemar kandungan pantas.
“Kandungan ini sesuai ditonton ketika menunggu bas atau menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Sejak mengambil alih kepimpinan pada Januari 2023, Suhaimi dilihat memberi fokus kepada transformasi digital dan pembaharuan kandungan.
Suhaimi sebelum ini mengesahkan akan meninggalkan RTM hujung bulan ini dan dijangka kembali ke bidang perniagaan.
Proses pelantikan pengganti akan dimulakan kementerian dalam masa terdekat.
Asas ekonomi negara lebih kukuh selepas empat tahun: PMX
Kemalangan pejalan kaki di KL: 93 nyawa melayang sejak 2022
Wang peti besi RM325,000 lesap, pegawai bank didakwa seleweng
Isu premis tutup solat Jumaat, Anwar tidak setuju kenyataan Ahli Parlimen
GST belum sesuai dilaksana, kerajaan kekal SST: MOF
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib