Pengesahan had umur media sosial akan dimuktamadkan pada suku kedua

February 25, 2026 · Isu semasa

Kerajaan menyasarkan kaedah pengesahan umur bagi pengguna media sosial akan dimuktamadkan pada suku kedua 2026 menerusi instrumen subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan berbahaya sejak akta berkenaan dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.

Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kini sedang menilai pelaksanaan mekanisme pengesahan umur dan identiti dengan mengambil kira aspek keselamatan akaun, perlindungan data peribadi, privasi serta keserasian dengan undang-undang sedia ada.

“MCMC juga melaksanakan Medan Ujian Regulatori bersama penyedia platform media sosial bagi menilai pendekatan teknologi yang paling sesuai,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Negara.

Beliau menjelaskan, ujian tersebut melibatkan kaedah pengesahan umur, pengesahan identiti entiti serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kandungan berisiko.

Selepas proses penilaian selesai, tanggungjawab memastikan pengguna berumur 16 tahun ke bawah tidak memiliki akaun media sosial akan diletakkan sepenuhnya kepada penyedia platform.

“Kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh menyebabkan penalti kewangan sehingga RM10 juta dikenakan,” katanya.

Langkah itu, jelasnya, bertujuan memastikan algoritma platform lebih selamat dan bersesuaian mengikut peringkat umur, sekali gus mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada buli siber, gangguan seksual dan kandungan ekstrem.

Isu keselamatan dalam talian semakin mendapat perhatian apabila peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan remaja dikaitkan dengan tekanan emosi dan risiko eksploitasi digital.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh ekosistem digital yang lebih selamat.

Beliau turut mendedahkan dari 1 Januari 2022 hingga 15 Februari lalu, sebanyak 1,578 permohonan menurunkan kandungan jelik melampau melibatkan kanak-kanak telah dikemukakan kepada penyedia perkhidmatan, dengan 96 peratus daripadanya berjaya diturunkan.

Dalam masa sama, MCMC memulakan rundingan awam sejak 12 Februari bagi membangunkan Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-kanak yang dijangka dimuktamadkan selepas 13 Mac.

“Hasrat kita adalah menjadikan kod ini sebagai kewajipan kepada penyedia platform supaya algoritma mereka lebih selamat serta mewujudkan mekanisme aduan yang lebih pantas dan berkesan,” katanya.

Berita berkaitan
Infrastruktur digital negara perlu diperkukuh hadapi ancaman kuantum: Fahmi
5 jam lalu· Isu semasa
Kerajaan pertimbang namakan jalan di KL sempena A Samad Said
5 jam lalu· Isu semasa
MCMC perkukuh pertahanan siber, jalin kerjasama dengan NACSA
7 jam lalu· Isu semasa
MCMC saman Google RM600 juta isu kandungan berbahaya di YouTube
8 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Sindiket seludup syabu ke Indonesia tumpas, rampasan bernilai RM5.19 juta
2 jam lalu · Isu semasa
Dadah dari Lembah Klang dihantar ke Sabah guna aset TUDM
2 jam lalu · Isu semasa
Ibu bapa wajib hadir ketika Bantuan Awal Persekolahan RM200 diagihkan
7 jam lalu · Isu semasa
192,869 kes scam, lebih RM7 bilion wang rakyat lesap
7 jam lalu · Isu semasa
Mahkamah larang pihak terlibat ulas kes Shuhaily
7 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
21 jam lalu
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok