Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Tindakan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap tapak Street Dakwah di Bukit Bintang baru-baru ini bukan berkaitan aktiviti dakwah, sebaliknya susulan aduan orang awam mengenai pemasangan kanopi di kawasan terbabit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menjelaskan pasukan penguat kuasa DBKL turun ke lokasi selepas menerima aduan termasuk dakwaan berlaku vandalisme.
Menurut beliau, pegawai bertugas menunggu kira-kira 30 minit di tapak berkenaan, namun tiada wakil tampil sebelum tindakan lanjut diambil.
“Bahan yang diambil seperti kerusi, meja lipat, khemah dan troli beroda telah dipulangkan semula kepada Multiracial Reverted Muslims (MRM). Tidak ada bahan agama yang dirampas oleh DBKL,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Isu itu timbul selepas terdapat dakwaan kononnya barangan dakwah seperti risalah turut dirampas dalam operasi berkenaan.
Yeoh menegaskan persepsi tersebut tidak tepat dan menambah bahawa situasi yang dimainkan di media sosial telah memberi tekanan kepada pegawai penguat kuasa yang terlibat.
“Pegawai tersebut diganggu di akaun Facebook sehingga beliau terpaksa menutup akaun media sosialnya. Ini menyedihkan kerana mereka hanya menjalankan tanggungjawab selepas menerima aduan,” katanya.
Street Dakwah di sekitar Bukit Bintang sebelum ini dikenali sebagai inisiatif dakwah jalanan yang menyasarkan orang ramai di kawasan tumpuan pelancong.
Namun, sebagai kawasan di bawah pentadbiran DBKL, sebarang struktur sementara termasuk kanopi perlu mematuhi peruntukan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Beliau turut menjelaskan Jabatan Wilayah Persekutuan sentiasa menyokong usaha dakwah, namun ia perlu dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.
Menurutnya, DBKL akan bekerjasama dengan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi memastikan garis panduan aktiviti dakwah lebih jelas.
“Setiap agensi melihat isu dari sudut berbeza, termasuk lokasi, keselamatan dan sensitiviti agama,” katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat tuduhan melulu dan sentiasa bersangka baik demi menjaga keharmonian.
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
Amanah kritik cadangan PAS tangani krisis ekonomi tak realistik
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan