Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan mengarahkan atau terlibat dalam sebarang tindakan menghalang Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi daripada memasuki kawasan FELDA.
Memetik laporan BH, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian seperti yang didakwa sebelum ini.
“Saya tidak pernah mengarahkan atau menghalang Menteri Besar Johor untuk masuk ke dalam kawasan FELDA,” katanya menurut laporan tersebut.
Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Onn Hafiz yang mendakwa tidak dibenarkan memasuki kawasan FELDA bagi menghadiri program penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 yang dijadual berlangsung di FELDA Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun lalu.
Menurut Onn Hafiz, susulan halangan tersebut, majlis berkenaan terpaksa dipindahkan ke Dewan Dato’ Onn di Taman Sri Lambak.
Ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka FELDA di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, beliau meluahkan rasa syukur kerana program itu akhirnya dapat diteruskan walaupun berlaku beberapa kekangan.
“Walaupun sepatutnya kita berjumpa dua hari lalu, diuji, disekat dan ditekan, namun dengan takdir Allah SWT kita tetap dapat berjumpa,” katanya.
Beliau turut menyifatkan warga FELDA sebagai “anak emas Johor” dan melahirkan rasa kecewa apabila tidak dapat melaksanakan penyerahan hak milik peneroka di kawasan tanah rancangan seperti yang dirancang.
“Pertama kali dalam sejarah hidup saya di Johor, Menteri Besar tidak dibenarkan masuk ke kawasan FELDA,” katanya.
Bagaimanapun, Onn Hafiz menegaskan tidak menyalahkan pihak pengurusan FELDA atas situasi yang berlaku dan memahami mereka berada dalam keadaan sukar.
Kontroversi itu tercetus selepas Kerajaan Johor sebelum ini memaklumkan sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 terpaksa ditangguhkan.
Pada 17 Jun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Zahari Sarip, memohon maaf kepada warga FELDA atas penangguhan program berkenaan.
Menurutnya, kerajaan negeri dimaklumkan FELDA Johor menerima arahan supaya sambutan tersebut tidak diteruskan walaupun pelbagai persiapan telah dibuat bersama kerajaan negeri, pihak FELDA dan jawatankuasa peneroka.
Zahari berkata keputusan pembatalan hanya dimaklumkan pada 16 Jun, iaitu kira-kira empat hari sebelum program berlangsung.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan komitmen kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan dan kepentingan warga FELDA akan terus diperkukuhkan.
Keputusan rayuan Guan Eng, isteri dan ahli perniagaan diketahui hari ini
Kerajaan pusat dan negeri sepakat tangani cabaran ekonomi: Anwar
Bersatu persoal keabsahan Mesyuarat Tertinggi PN, langgar kehendak RoS
Kecoh kenyataan awal dipadam, pengguna FB kantoikan tangkap layar akaun Samsuri
Bukan nama Wawasan, sebaliknya PN sahkan kemasukan PCM dan Pejuang
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar