DAP mengumumkan calon Melayu, Nor Zulaila Abd Ghani bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram.
DAP mengumumkan calon Melayu, Nor Zulaila Abd Ghani, untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, manakala Ketua DAPSY Johor, Lee Wern Yiing, dipilih sebagai calon bagi DUN Johor Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada satu majlis di Pusat Komuniti Harapan, Plentong hari ini yang turut dihadiri kepimpinan DAP Johor.
Pemilihan Nor Zulaila, 38, atau lebih dikenali sebagai Lily, dilihat sebagai usaha DAP mengetengahkan kepelbagaian calon parti itu dalam menghadapi persaingan di Johor.
Anak jati Lenga, Muar itu mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam bidang perkhidmatan awam, pembangunan komuniti dan pentadbiran kerajaan.
Beliau kini berkhidmat sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang sejak 2018 dan pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Pegawai Khas Ahli Parlimen Bangi, Pengurus Penyelaras DUN Semenyih serta Pembantu Ahli Parlimen Serdang.
Selain itu, beliau turut pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang juga Timbalan Menteri Kewangan.
Dalam ucapannya, Nor Zulaila berterima kasih kepada kepimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan untuk bertanding di Tiram.
“Saya mahu membawa suara rakyat serta memastikan polisi dan dasar yang baik dapat kembali memberi manfaat kepada mereka selain melakukan perubahan yang lebih baik.
“Saya juga menyeru seluruh jentera PH supaya berkempen secara berhemah dengan menawarkan harapan serta politik matang yang tidak memecahbelahkan kaum,” katanya.
Sementara itu, Wern Yiing, 30, menyifatkan pencalonannya di Johor Jaya sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan penuh komitmen.
Beliau berjanji akan meneruskan khidmat serta legasi penyandang kerusi itu, Liow Cai Tung, selain memastikan isu-isu rakyat terus diberi perhatian.
“Pengalaman selama lapan tahun bersama Liow banyak mengajar saya mengenai keperluan penduduk setempat. Saya akan menggunakan pengalaman itu untuk terus membantu rakyat dan membawa suara mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
PRN Johor kali ini dijangka menjadi medan penting bagi PH dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk Kerajaan Perpaduan untuk mempertahankan penguasaan mereka di negeri itu.
Pengumuman calon-calon baharu oleh DAP juga dilihat sebagai sebahagian strategi parti berkenaan menampilkan wajah segar serta memperkukuh sokongan pelbagai kaum menjelang hari pengundian.
Kerajaan pusat dan negeri sepakat tangani cabaran ekonomi: Anwar
Bersatu persoal keabsahan Mesyuarat Tertinggi PN, langgar kehendak RoS
Kecoh kenyataan awal dipadam, pengguna FB kantoikan tangkap layar akaun Samsuri
Bukan nama Wawasan, sebaliknya PN sahkan kemasukan PCM dan Pejuang
Kerjasama dengan Putrajaya kunci kemajuan Johor: Anwar
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar